Posted on 28 August, 2026

NURUL IZYAN BINTI ANVER

Anugerah Belia Berkhidmat Tahun 2025

Penerima Anugerah Belia Berkhidmat Tahun 2025 merupakan seorang pemimpin belia yang berwawasan, berdedikasi dan konsisten dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan, kepimpinan serta transformasi digital. Dengan latar belakang dalam bidang Sains Komputer, beliau berjaya menggabungkan kepakaran teknologi dengan semangat kesukarelawanan untuk menghasilkan impak yang signifikan kepada negara.

Beliau memainkan peranan penting dalam menyelaras lebih daripada 8,000 sukarelawan ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 melalui pembangunan sistem pengurusan sukarelawan yang digunakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Selain itu, beliau terus aktif dalam membimbing organisasi belia, memperkasakan literasi digital, memperluas akses kepada teknologi serta mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai platform serantau dan antarabangsa. Komitmen, integriti dan kepimpinan beliau menjadi inspirasi kepada generasi belia untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.