Seramai 28 orang ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada atlet-atlet sukan Boling Padang, Renang dan Sepak Takraw berserta Chef de Mission, Pegawai-Pegawai Urus Setia dan Perhubungan, Pegawai Perubatan, Pengurus Pasukan serta Jurulatih telah berlepas ke Sabah, Malaysia hari ini bagi menyertai Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan serta ahli keluarga kontinjen.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam pada temasya kali ini diketuai oleh Yang Mulia Dayang Noorfaizah binti Haji Suboh selaku Chef de Mission.
Bagi jadual pertandingan kontinjen negara, atlet-atlet sukan Boling Padang akan memulakan saingan pada 24 hingga 26 November 2026 bertempat di Arena Boling Padang, Kompleks Sukan Kota Kinabalu menerusi acara Men’s Pair dan Men’s Triple.
Manakala atlet-atlet sukan Renang akan beraksi pada 24 dan 25 November 2026 di Kompleks Akuatik, Kompleks Sukan Kota Kinabalu dalam acara 50 meter Kuak Kupu-Kupu (Butterfly), 100 meter Gaya Bebas (Freestyle), 50 meter Kuak Dada (Breaststroke), 50 meter Kuak Lentang (Backstroke) dan 50 meter Gaya Bebas (Freestyle).
Sementara itu, pasukan Sepak Takraw pula dijadualkan bertanding pada 24 hingga 26 November 2026 di Dewan MAKSAK bagi acara Men’s Doubles dan Men’s Regu.
Sukan Persahabatan BIMP-EAGA merupakan temasya sukan dwitahunan yang menghimpunkan para atlet dan pegawai dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina, melibatkan sembilan acara sukan yang bukan sahaja menguji kemampuan atlet, malah mempererat semangat kesukanan dan persahabatan serantau.
Negara Brunei Darussalam pernah menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Persahabatan BIMP-EAGA sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2008 dan 2018.
