BERAKAS, Sabtu, 13 Jamadilawal 1448 / 24 Oktober 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), berkenan berangkat menyempurnakan
Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026, Dakar, Senegal yang diadakan di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda, seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Yang Mulia Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen, Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026, Dakar, Senegal. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama Duli Yang Teramat Mulia.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan, dan pegawai-pegawai kanan KKBS, serta keluarga atlet.
Sukan Belia Olimpik Dakar 2026 merupakan edisi keempat Sukan Belia Olimpik Musim Panas yang akan berlangsung di Dakar, Senegal dari 31 Oktober hingga 13 November 2026. Acara ini mencatat sejarah sebagai acara sukan Olimpik pertama yang dianjurkan di benua Afrika, sekali gus menjadi mercu tanda penting dalam perkembangan Gerakan Olimpik global.
Sukan Belia Olimpik merupakan temasya sukan antarabangsa yang menghimpunkan atlet-atlet muda terbaik dunia. Edisi Dakar 2026 mencipta sejarah sebagai temasya Olimpik pertama yang dianjurkan di benua Afrika, di samping menyaksikan sukan Wushu dipertandingkan buat julung kalinya di pentas Olimpik.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Olimpik Dakar 2026 terdiri daripada lapan orang anggota, merangkumi tiga atlet, tiga jurulatih, seorang urusetia dan seorang Ketua Kontinjen (Chef de Mission), yang akan memimpin penyertaan negara ke temasya sukan tersebut. Kontinjen Negara akan bersaing dalam tiga jenis sukan di Sukan Belia Olimpik Dakar 2026, iaitu Olahraga yang diwakili oleh seorang atlet lelaki, Renang yang diwakili oleh seorang atlet lelaki, serta Wushu yang diwakili oleh seorang atlet wanita.
Negara Brunei Darussalam telah menyertai Sukan Belia Olimpik secara konsisten sejak edisi sulung di Singapura pada tahun 2010, termasuk penyertaan dalam edisi di Nanjing dan Buenos Aires. Penerusan tradisi penyertaan ini membuktikan komitmen berterusan negara dalam membina landasan antarabangsa bagi atlet-atlet pelapis kita.
