Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan telah menganjurkan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026 Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Di-Gadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim, bekas peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun 2025, yang juga membacakan Doa Selamat di akhir majlis, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis.
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir pada tahun ini menyaksikan sepuluh peserta yang terdiri daripada lima qari dan lima qariah, termasuk Johan Menunggu Qari dan Qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2025, yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh belia daripada Kumpulan Dhafwatul ‘Aisy, Beliawanis Masjid Utama Mohd Salleh, Pekan Bangar.
Kemuncak majlis ialah menyaksikan pengumuman keputusan pertandingan musabaqah yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026 Peringkat Akhir. Tetamu Kehormat Majlis kemudiannya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Johan qari dan qariah masing-masing menerima piala pusingan, hadiah iringan, sijil penyertaan serta wang tunai berjumlah BND3,000.00. Naib johan qari dan qariah pula masing-masing menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai BND2,000.00. Manakala pemenang tempat ketiga qari dan qariah menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai BND1,000.00. Peserta yang menerima hadiah saguhati turut menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai BND500.00.
Pada tahun ini, seramai 111 peserta telah mendaftarkan diri bagi mengikuti Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026.
Penganjuran musabaqah ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan dalam menyediakan platform yang positif bagi pembangunan belia, khususnya dalam memperkukuhkan nilai kerohanian, pembentukan sahsiah serta penghayatan ajaran Islam.
Musabaqah berkenaan merupakan salah satu program tahunan yang bertujuan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1996M pada 1 Jamadilakhir 1417H bersamaan 13 Oktober 1996M. Di antara lain titah Baginda:
“Hasrat kita yang tunggal ialah melihat generasi Al-Quran itu dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan, terutama golongan belia. Kita akan merasa bangga dengan lahirnya belia-belia yang berwatak salih. Bahawa salah satu tanda kesalihan itu ialah terlibatnya mereka dengan Al-Quran samada keterlibatan itu selaku pembaca biasa, mahupun sekaligus menjadi penghayat dan pengamal ajaran-ajarannya”.
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan antara inisiatif berterusan ke arah melahirkan generasi belia yang celik Al-Quran, berakhlak mulia serta berupaya menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian. Selain untuk menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah Negara Brunei Darussalam, musabaqah ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia, memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta belia melalui program keugamaan, serta menjadi persediaan bagi pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Melalui penganjuran program seumpama ini, adalah diharapkan agar budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran akan terus diperkasakan dalam kalangan belia, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang berilmu, berdaya tahan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni serta agama.
