Seramai 80 orang belia berumur antara 15 hingga 35 tahun yang terdiri daripada penuntut sekolah menengah kerajaan, institusi pengajian tinggi serta ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia dan sukan menyertai Bicara Keselamatan Siber yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Brunei-Muara.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan golongan belia mengenai kepentingan keselamatan siber, khususnya dalam menghadapi ancaman penipuan dalam talian yang semakin pelbagai. Bicara Keselamatan Siber turut memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai pelbagai bentuk penipuan atau scam, termasuk modus operandi yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Para peserta juga dikongsikan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri, maklumat peribadi serta akaun kewangan daripada menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, program berkenaan bertujuan membimbing para peserta dalam mengenal pasti teknik dan taktik yang sering digunakan oleh scammer, termasuk tanda-tanda awal yang boleh menunjukkan sesuatu tawaran, mesej atau komunikasi sebagai satu bentuk penipuan. Para peserta turut diberikan panduan mengenai amalan keselamatan ketika menggunakan internet dan media sosial, termasuk kepentingan menjaga kerahsiaan maklumat peribadi serta tidak mudah mempercayai atau berkongsi maklumat dengan pihak yang tidak dikenali.
Bagi memastikan para peserta mendapat maklumat dan pandangan daripada pihak yang berkepakaran dalam bidang berkaitan, Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Brunei-Muara telah mengundang penceramah daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) untuk menyampaikan ceramah dan perkongsian.
Melalui program ini, para belia diharap akan lebih peka dan berwaspada terhadap pelbagai bentuk ancaman penipuan dalam talian serta mampu mengambil langkah yang bersesuaian bagi melindungi diri dan maklumat peribadi.
Program ini juga dihasratkan untuk membentuk golongan belia yang lebih celik digital serta menggalakkan mereka menjadi pengguna teknologi dan media sosial yang berwaspada, bertanggungjawab dan berhemah.
Jabatan Belia dan Sukan akan terus mendukung usaha-usaha dalam meningkatkan kesedaran golongan belia terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan keselamatan, kesejahteraan dan penggunaan teknologi secara positif dan bertanggungjawab.
