Home 5 Berita 5 Upacara Menyambut Kepulangan Kontinjen Negara Brunei Darussalam Dari Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya, Jepun 2026

Upacara Menyambut Kepulangan Kontinjen Negara Brunei Darussalam Dari Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya, Jepun 2026

Sep 25, 2026

Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Chef de Mission, pegawai urus setia dan pasukan Wushu telah kembali ke tanah air selepas menyertai temasya Sukan Asia Ke-20 yang berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun.

Hadir di Ruang Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut kepulangan kontinjen negara ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Beliau mengalungkan sesandang kepada ahli kontinjen serta menyampaikan ucapan tahniah atas pencapaian yang diraih. Selain itu, beliau turut menyampaikan kata-kata motivasi kepada para atlet agar terus berusaha dengan lebih gigih, mengekalkan disiplin serta semangat kesukanan yang tinggi dalam usaha mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pada temasya sukan tersebut, atlet Wushu negara, Dayang Basma Lachkar, berjaya menyumbangkan satu pingat gangsa menerusi acara Combined Event Taijiquan dan Taijijian yang berlangsung di Aichi Prefectural Martial Arts Hall.

Kejayaan tersebut sekali gus mengukuhkan prestasi konsisten yang dipamerkan oleh Dayang Basma Lachkar di pentas antarabangsa, khususnya dalam penyertaan beliau pada edisi Sukan Asia kali ini.

Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen dan dedikasi atlet negara dalam mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di arena sukan serantau dan antarabangsa.