Atlet Wushu negara, Dayang Basma Lachkar, sekali lagi menunjukkan prestasi yang konsisten di pentas Sukan Asia apabila berjaya meraih Pingat Gangsa dalam acara Combined Event Taijiquan dan Taijijian pada Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, Dayang Basma telah meraih Pingat Perak dalam acara yang sama. Pencapaian Gangsa pada tahun ini meneruskan prestasi konsistennya di peringkat Asia.
Pingat Emas menjadi milik atlet China, manakala atlet Jepun berjaya meraih Pingat Perak. Dayang Basma berkongsi jumlah mata yang sama dengan atlet Singapura bagi kedudukan Gangsa.
Pertandingan berlangsung sengit dengan kesemua atlet memberikan persembahan terbaik masing-masing.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Olympic Council of Asia Honorary Executive Board Member dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, berkenan menyampaikan pingat kepada para pemenang.
Sementara itu, dalam acara Lelaki Changquan, atlet negara Walid Lachkar telah memberikan persembahan terbaik beliau. Walau bagaimanapun, sedikit kesilapan dalam persembahannya telah menjejaskan markah keseluruhan. Walid menamatkan saingan di tempat ke-14 daripada 21 peserta.
Dalam acara bawah 55kg Karate Kumite Lelaki, Ak Mohd Munib Aiman pula tewas tipis kepada Indonesia dengan keputusan 1–2, dalam satu perlawanan yang sengit dan berdaya saing.
Pencapaian atlet-atlet negara yang bertanding pada hari ini mencerminkan komitmen dan semangat juang tinggi kontinjen Brunei Darussalam dalam menghadapi persaingan di Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026.
Dalam acara sukan lain, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyampaikan maskot bagi acara Teqball Beregu Lelaki, sementara penyampai pingat adalah ahli International Olympic Committee. Acara tersebut menyaksikan Thailand meraih Pingat Emas, Lebanon Pingat Perak, manakala Pingat Gangsa dimenangi oleh pasukan Iraq dan Kuwait.
