Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 telah membuka tirai secara rasmi malam semalam dalam sebuah majlis penuh gilang-gemilang yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor, Malaysia.
Majlis Pembukaan Rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 pada jam 8.00 malam itu disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai simbolik bermulanya temasya sukan terbesar peringkat negeri dan kebangsaan yang menghimpunkan atlet terbaik dari seluruh Malaysia serta kontinjen jemputan.
Majlis pembukaan pada malam itu mengangkat tema “Di Sinilah Lahirnya Juara”, yang mengetengahkan perjalanan seorang atlet dalam membina kejayaan melalui impian, disiplin, pengorbanan, kesungguhan dan semangat tidak mudah berputus asa.
Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan sepanjang SUKMA Selangor 2026 yang melibatkan venue pertandingan di seluruh negeri. Temasya ini turut menyaksikan penyertaan 15 kontinjen, termasuk Negara Brunei Darussalam sebagai kontinjen jemputan.
Turut hadir pada Majlis Pembukaan Rasmi SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) Negara Brunei Darussalam, sebagai wakil Kerajaan Negara Brunei Darussalam yang turut memberikan sokongan terhadap penyertaan kontinjen Negara Brunei Darussalam dalam temasya kali ini.
Penganjuran SUKMA XXII Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dan manakala Para SUKMA akan diadakan mulai 5 hingga 14 September 2026.
Negara Brunei Darussalam akan menyertai dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik (Renang), Badminton, Olahraga, Catur, Golf, Lawan Pedang, Karate, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwondo and Wushu.
