Sambutan Hari Belia Kebangsaan yang diraikan pada setiap 1 Ogos merupakan wadah penting bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para belia atas sumbangan, khidmat bakti serta impak positif mereka terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Sambutan ini juga menjadi platform untuk membarigakan kejayaan danpencapaian belia di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sekali gus mengangkat peranan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam.
Bersempena dengan sambutan tersebut, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang merangkumi Solat Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Solat Hajat, bacaan Surah Yaasin, Tahlil serta Doa Kesyukuran, bertempat di Masjid Universiti Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib Berjemaah dan Solat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Pengiran Muhammad Nasiruddin bin Pengiran Haji Abu Bakar, Imam Masjid Universiti Brunei Darussalam. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Muhammad Fauzan Al-Hadey bin Pengiran Damit, mahasiswa Universiti Brunei Darussalam. Bacaan tersebut dikhususkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang telah kembali ke rahmatullah.
Seterusnya, Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Masjid Universiti Brunei Darussalam. Majlis diakhiri dengan Solat Fardu Isyak Berjemaah.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026,pegawaipegawai kanan kerajaan serta para jemputan. Majlis turut disertai oleh ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia dan sukan, pasukan-pasukan belia beruniform, penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah, beliabelia masjid, Ahli-Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti Brunei Darussalam serta masyarakat umum.
Penganjuran majlis ini menjadi wadah bagi seluruh warga belia untuk menzahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati di Negara Brunei Darussalam, di samping mendoakan agar golongan belia terus dikurniakan kekuatan iman, keluhuran akhlak, ilmu pengetahuan dan semangat pengabdian kepada agama, raja, bangsa dan negara.
Pada hari yang sama, turut diadakan Majlis Membaca Surah Yaasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja di Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis tersebut dihadiri oleh ahli-ahli persatuan belia dan sukan, pasukan-pasukan beruniform, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para belia.
Sambutan ini juga dihasratkan dapat menyuntik semangat para belia agar terus berani melangkah, memperkasa potensi diri dan tampil sebagai generasi pelapis yang berdaya tahan, berwibawa serta bersedia memikul amanah kepimpinan. Dengan dukungan berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,para belia diseru untuk bersama-sama menyumbang idea, tenaga dan kepakaran dalam menjayakan pembangunan negara serta merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
