Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam, telah berkenan berangkat ke venue sukan renang Tollcross International Swimming Centre bagi menyaksikan perlawanan yang disertai oleh atlet renang Negara di Sukan Komanwel Ke-23 yang berlangsung di Glasgow, Scotland.
Dayang Hayley Wong dan Dayang Sharmeen Mohd Marvin beraksi dalam acara Women’s 50m Freestyle, manakala Awang Joel menyertai acara Men’s 100m Backstroke. Sungguhpun kesemuanya tidak mara ke peringkat seterusnya dan tidak berjaya memperbaiki rekod peribadi mereka, ketiga-tiga atlet mempamerkan semangat juang yang tinggi, disiplin serta komitmen yang cemerlang.
Selesai sahaja perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bagi menyampaikan penghargaan atas komitmen, disiplin dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang temasya ini dan berkeyakinan bahawa pengalaman yang diraih ini akan menjadi pemangkin untuk terus mempertingkatkan prestasi mereka.
Di samping itu, Duli Yang Teramat Mulia juga turut bersabda agar atlet terus berlatih dengan tekun dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dan terus mengekalkan iltizam, fokus dan komitmen yang tinggi dalam setiap sesi latihan sebagai persediaan kejohanan akan datang.
Dengan berakhirnya acara pada hari ini, tamatlah penyertaan ketiga-tiga atlet renang Negara Brunei Darussalam di Sukan Komanwel Ke-23. Walaupun tidak berjaya melangkah lebih jauh, mereka telah memberikan saingan yang membanggakan serta memperoleh pengalaman berharga kerana berpeluang bertanding dengan atlet-atlet elit antarabangsa.
Secara keseluruhannya, penyertaan atlet daripada sukan Olahraga, Renang dan Angkat Berat di Sukan Komanwel Ke-23 telah memberi pendedahan yang amat bernilai dalam meningkatkan keyakinan, kematangan dan kesiapsiagaan mereka sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa pada masa hadapan bagi mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.
