Home 5 Berita 5 Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (Spks) Bagi Sukan Asia Tenggara Ke-33, Thailand 2025

Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (Spks) Bagi Sukan Asia Tenggara Ke-33, Thailand 2025

Jul 13, 2026

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Majlis Penyampaian Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) bagi atlet-atlet Negara Brunei Darussalam yang Berjaya meraih pingat pada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 Tahun 2025 di Thailand. Majlis tersebut berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; pengarah-pengarah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta ahli keluarga atlet.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ali Rahman bin Haji Sulaiman, Penolong Pengurus Stadium di Jabatan Belia dan Sukan; dan diteruskan dengan kata alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) kepada para atlet, jurulatih dan Persatuan Sukan Kebangsaan yang disempurnakan oleh Tetemu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.

Seramai 22 orang atlet, 6 orang jurulatih, 3 orang penolong jurulatih dan 5 Persatuan Sukan Kebangsaan telah menerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Sukan (SPKS). Penerima-penerima tersebut terdiri daripada atlet, jurulatih dan persatuan bagi sukan Polo, Wushu, Pencak Silat, Karate dan Sepak Takraw yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA Ke-33 yang berlangsung di Thailand pada 9 hingga 20 Disember 2025. Senarai penerima-penerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) adalah di Lampiran 1.

Jumlah keseluruhan Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) yang disampaikan bagi temasya Sukan SEA Ke-33 Tahun 2025 ialah sebanyak BND41,695.00.

Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) merupakan komitmen Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menghargai jasa, pengorbanan dan usaha para atlet, jurulatih serta Persatuan Sukan Kebangsaan yang berjaya mengharumkan nama negara di persada serantau dan antarabangsa. Pemberian ganjaran tersebut juga menjadi pemangkin motivasi kepada atlet dan semua pihak yang terlibat untuk terus meningkatkan prestasi dan kecemerlangan sukan negara, selaras dengan hasrat Dasar Sukan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1991.

Selain itu, pemberian ganjaran ini turut bertujuan menggalakkan para atlet untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan meraih kejayaan pada kejohanan sukan di peringkat serantau dan antarabangsa, di samping mengiktiraf sumbangan jurulatih serta Persatuan Sukan Kebangsaan dalam pembangunan dan kemajuan sukan negara.