Negara Brunei Darussalam akan menyertai Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 yang akan diadakan di Sabah, Malaysia bermula pada 23 hingga 27 November 2026.
Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12, Sabah, Malaysia 2026 telah diadakan bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera negara ialah Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, Menteri Pendidikan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis didahului dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Shahram bin Haji Abd Rahman, yang juga membacakan Doa Selamat di akhir majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Tetap selaku Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kemuncak majlis ialah menyaksikan Tetamu Kehormat Majlis menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Yang Mulia Dayang Noorfaizah binti Haji Suboh selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12, Sabah, Malaysia 2026. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama Tetamu Kehormat Majlis.
Turut hadir dimajlis berkenaan ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan; Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta ahli keluarga atlet.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam pada kali ini dianggotai seramai 64 orang terdiri daripada 42 orang atlet dan 22 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Pegawai-Pegawai Urus Setia dan Perhubungan, Pegawai Perubatan,Jurulatih dan Pengurus yang akan menyertai sebanyak tujuh acara sukan iaitu Badminton, Boling Padang, Karate, Olahraga, Pencak Silat, Renang dan Sepak Takraw.
Sukan Persahabatan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan persahabatan di antara Ahli-Ahli BIMP-EAGA dan
atlet-atlet ke arah perpaduan, persefahaman dan kerjasama melalui penganjuran Sukan Persahabatan.
BIMP-EAGA adalah singkatan bagi Kawasan Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina. Edisi pertama sukan ini berlangsung di Filipina pada tahun 1996 diikuti dengan Sarawak pada tahun berikutnya sebelum dihentikan sementara. Ia diadakan kembali pada tahun 2003, dengan Filipina sekali lagi menjadi tuan rumah. Edisi keempat diadakan di Sabah pada tahun 2004, kemudian Indonesia pada tahun 2006, Negara Brunei Darussalam pada tahun 2008, Filipina pada tahun 2012, Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2014, Kalimantan Timur, Indonesia pada tahun 2016, Negara Brunei Darussalam pada tahun 2018 dan 2024 di Filipina.
Pada Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-11 di Filipina, kontinjen negara telah berjaya meraih 3 pingat emas, 2
pingat perak dan 8 pingat gangsa.
Kontinjen negara dijangka bertolak secara berperingkat-peringkat bermula 21 November 2026.
