Seramai 3 orang delegasi Negara Brunei Darussalam akan menyertai Youth Ambassadors Program 2026 yang akan berlangsung bermula 31 Oktober hingga 7 November 2026 di Muscat, Kesultanan Oman.
Rombongan tersebut diketuai oleh Yang Muia Awang Mohammad Noramizul bin Haji Serbini, Pemangku Pekerja Kanan Belia dan Sukan dan turut disertai oleh dua (2) orang peserta belia iaitu Awang Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim dan Dayang Nadiatul Fikriyah binti Haji Madzneh.
Program ini dianjurkan oleh Ministry of Culture, Sports and Youth (Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Belia) Kesultanan Oman dan merupakan edisi keempat penganjuran program tersebut, Program ini bertujuan untuk melengkapkan pemimpin belia dengan kemahiran kepimpinan dan diplomatik serta meningkatkan penglibatan mereka dalam forum-forum di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sepanjang program tersebut, delegasi akan menyertai United Nations Youth Model iaitu simulasi mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan malis-maiis di bawahnya, bengkel latihan khusus yang dikendalikan oleh United Nations Instiute for Training and Research (UNITAR), Diplomatic Forum iaitu sesi dialog interaktif bersama pemimpin-pemimpin diplomatik serta Diplomatic Protocol Workshop bagi melengkapkan peserta dengan kemahiran asas menghadiri mesyuarat dan majlis rasmi.
Selain itu, delegasi dijadualkan mengadakan lawatan kebudayaan ke tempat-tempat bersejarah dan mercu tanda budaya di Kesultanan Oman.
Program ini juga antara lain bertujuan untuk memperkenalkan peserta kepada prinsip-prinsip asas kerja PBB dan majlis-majlis di bawahnya, meningkatkan kesedaran dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan alam sekitar, serta melengkapkan belia dengan kemahiran berfikir secara kritis, analitikal, penyelidikan, perundingan, komunikasi dan kepimpinan, di samping menghubungkan belia dengan komuniti antarabangsa.
