Home 5 Berita 5 PROGRAM PERTUKARAN BELIA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM – REPUBLIK KOREA 2026(BRUNEI–KOREA YOUTH EXCHANGE PROGRAMME 2026)

PROGRAM PERTUKARAN BELIA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM – REPUBLIK KOREA 2026(BRUNEI–KOREA YOUTH EXCHANGE PROGRAMME 2026)

Oct 13, 2026

BERAKAS, Selasa, 2 Jamadilawal 1448 | 13 Oktober 2026 – Seramai 15 orang delegasi Negara Brunei Darussalam akan menyertai Program Pertukaran Belia Negara Brunei Darussalam – Republik Korea 2026 yang akan berlangsung bermula 14 hingga 23 Oktober 2026 di Seoul, Republik Korea.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Yang Mulia Mohamad Adi Hamdi bin Haji Aminuddin, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I.

Rombongan tersebut diketuai oleh Yang Mulia Dayang Norainah binti Haji Abdul Hadi, Pemangku Penolong Pegawai Hal Ehwal Belia dan Sukan dan turut disertai oleh seorang Penolong Ketua Rombongan, seorang Jurubahasa (Interpreter) dan 12 orang peserta belia.

Program ini dianjurkan oleh Ministry of Gender Equality and Family (MOGEF) Republik Korea dengan kerjasama Korea Youth Work Agency (KYWA), dan merupakan kesinambungan Program Pertukaran Belia antara keduadua negara yang telah dilaksanakan sejak tahun 2009, serta susulan lawatan delegasi belia Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam pada 24 Jun hingga 3 Julai 2026 yang lalu.

Sepanjang program tersebut, delegasi akan mengadakan kunjungan hormat ke MOGEF, menyertai bengkel aktiviti belia berasaskan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) bersama KYWA Junior Board, mengikuti sesi perbincangan bertema bersama belia Republik Korea serta mengadakan persembahan pertukaran budaya bagi memperkenalkan budaya dan warisan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, delegasi dijadualkan mengadakan lawatan ke Seoul Future Lab, Yatap Youth Center, Uiwang Youth Foundation, Seongdong AI & Future Technology Experience Center dan Seoul Robot & AI Museum, selain menyertai program homestay bersama keluarga angkat dan aktiviti pengalaman budaya.

Peserta belia yang menyertai program ini merupakan peserta Program Y-LITE (Youth – Leadership, Innovation, Talents and Empowerment), iaitu sebuah platform latihan pembangunan belia yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan bagi membangunkan kepimpinan, potensi dan kapasiti belia untuk mewakili negara dalam program-program belia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Program juga antara lain bertujuan bagi memperkukuh hubungan dua hala dan persefahaman antara belia kedua-dua negara, membuka ruang pertukaran idea dan amalan terbaik dalam pembangunan belia, serta memberi pendedahan mengenai kemajuan teknologi dan inovasi.