Home 5 Berita 5 PENYERAHAN GANJARAN KEMENANGAN SKIM PENGGALAK KECEMERLANGAN SUKAN KEPADA ATLET SUKAN PARA ASEAN KE-13, THAILAND 2026

PENYERAHAN GANJARAN KEMENANGAN SKIM PENGGALAK KECEMERLANGAN SUKAN KEPADA ATLET SUKAN PARA ASEAN KE-13, THAILAND 2026

Oct 12, 2026

BERAKAS, Isnin, 1 Jamadilawal 1448 / 12 Oktober 2026. – Seramai lima (5) orang atlet negara telah menerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka dalam Sukan Para ASEAN Ke-13 yang berlangsung di Thailand pada 20 hingga 26 Januari 2026.

Majlis Penyerahan Ganjaran Kemenangan SPKS berkenaan diadakan di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Tetamu Kehormat Majlis.

Sebelum penyampaian ganjaran, para jemputan menyaksikan tayangan video imbas kembali penyertaan dan pencapaian Kontinjen Negara Brunei Darussalam dalam Sukan Para ASEAN Ke-13, Thailand 2026.

Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) diberikan sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang atlet-atlet negara dalam sukan Para Athletics dan Para Tenpin Bowling pada Sukan Para ASEAN Ke-13, Thailand 2026. Kontinjen negara berjaya meraih sebanyak enam (6) pingat, terdiri daripada satu (1) pingat emas, tiga (3) pingat perak dan dua (2) pingat gangsa. Butiran pencapaian serta jumlah ganjaran yang diterima oleh atlet, jurulatih, penolong jurulatih dan Majlis Paralimpik Kebangsaan Brunei Darussalam adalah seperti berikut:

SUKAN PARA ATHLETICS
Nor Hensan binti Awang Haji Mataha – Atlet Perak Women Shot Put F11 BND3,000.00
Haji Mohd Rudy Izman bin Haji Badar -Atlet Perak Men’s Shot Put F53 BND3,000.00
Alihan Muda –  Atlet Gangsa Men’s Javelin F34 BND2,000.00
Lim Chee Wee – Jurulatih – BND1,600.00
Abdul Azim bin Haji Abu Bakar – Penolong Jurulatih – BND400.00

SUKAN PARA TENPIN BOWLING
Kamarul Ariffin bin Haji Abd Ghaffar – Atlet Emas TPB2 Single BND5,000.00
Saidin bin Awang Haji Damit – Atlet Gangsa TPB2 Single BND2,000.00
Kamarul Ariffin bin Haji Abd Ghaffar – Atlet Perak TPB2 + TPB2 Double BND1,500.00
Saidin bin Awang Haji Damit – Atlet BND1,500.00
Pengiran Saiful Rizal bin Pengiran Haji Yunus – Jurulatih BND2,000.00

Majlis Paralimpik Kebangsaan Brunei Darussalam
Para Athletics BND1,600.00
Para Bowling BND2,000.00

JUMLAH KESELURUHAN BND25,600.00

Pemberian Ganjaran Kemenangan SPKS merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memberikan pengiktirafan dan penghargaan terhadap pencapaian, usaha serta pengorbanan atlet negara, jurulatih dan Persatuan Sukan Kebangsaan dalam mengharumkan nama negara di persada serantau dan antarabangsa.

Skim berkenaan juga berperanan sebagai pemangkin dalam memberikan motivasi kepada atlet negara untuk terus meningkatkan prestasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi, selaras dengan aspirasi pembangunan sukan negara dan Dasar Sukan Negara.

Pencapaian atlet para negara di Sukan Para ASEAN Ke-13 turut mencerminkan keupayaan, disiplin dan semangat juang atlet dalam membawa cabaran Negara Brunei Darussalam, di samping menjadi inspirasi kepada masyarakat khususnya dalam memperkukuh pembangunan sukan yang inklusif dan berprestasi tinggi.