BERAKAS, Isnin, 1 Jamadilawal 1448 / 12 Oktober 2026. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) hari ini mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang akan menyertai Sukan Para Asia Ke-5, Aichi-Nagoya, Jepun 2026. Majlis berlangsung di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan penyerahan Bendera Negara ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan”, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis.
Kemuncak majlis menyaksikan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Yang Mulia Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Para Asia Ke-5, Aichi-Nagoya, Jepun 2026.
Sukan Para Asia Ke-5, Aichi-Nagoya, Jepun 2026 akan berlangsung secara rasmi pada 18 hingga 24 Oktober 2026. Negara Brunei Darussalam akan diwakili oleh seramai lima (5) orang ahli kontinjen, terdiri daripada seorang atlet Para Badminton dan empat (4) orang pegawai, iaitu Chef de Mission, Ketua Urus Setia, ahli fisioterapi dan jurulatih Para Badminton.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam dijadualkan bertolak ke Aichi-Nagoya, Jepun pada hari Selasa, 13 Oktober 2026.
Sukan Para Asia merupakan temasya sukan utama di peringkat Asia bagi atlet kurang upaya. Temasya berkenaan mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan Far East and South Pacific Games for the Disabled (FESPIC Games) sebelum berkembang menjadi Sukan Para Asia.
Negara Brunei Darussalam mula menyertai temasya berkenaan melalui Sukan FESPIC Ke-4 yang diadakan di Indonesia pada tahun 1986. Penyertaan terakhir Negara Brunei Darussalam dalam Sukan Para Asia adalah pada edisi ketiga yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada tahun 2018.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam ke Sukan Para Asia Ke-5 mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memberikan peluang dan sokongan kepada atlet para untuk bersaing di peringkat antarabangsa, di samping memperkasa pembangunan sukan para dan membudayakan kecemerlangan dalam kalangan atlet negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KKBS; Ahli-Ahli Jawatankuasa Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; wakil Majlis Paralimpik Kebangsaan Brunei Darussalam; pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan KKBS; serta keluarga atlet.
