Home 5 Berita 5 MAJLIS SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KE-21, TAHUN 2026 “BELIA PENERAJU, NADI WAWASAN NEGARA”

MAJLIS SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KE-21, TAHUN 2026 “BELIA PENERAJU, NADI WAWASAN NEGARA”

Oct 8, 2026

BERAKAS, Khamis, 26 Rabiulakhir 1448 / 8 Oktober 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Berangkat sama pada majlis sambutan tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 dan Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026.

Pada majlis tersebut juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.

Majlis diteruskan dengan Ikrar Belia yang dibacakan oleh seramai 100 orang belia yang mempunyai pencapaian dalam pelbagai bidang, termasuk tiga orang belia Kelainan Upaya.

Ikrar Belia diketuai oleh Pembaca Utama, iaitu Yang Mulia Awang Muhammad Fuad bin Haji Matahir, Penolong Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Majlis disusuli dengan tayangan video inspirasi yang memaparkan kejayaan belia dari pelbagai bidang. Tayangan tersebut selaras dengan hasrat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk menjadikan belia sebagai rakan peneraju dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Majlis turut diserikan dengan persembahan belia berbentuk lagu “Suara Kita” dan koir lagu patriotik belia “Belia Menuju Wawasan” dengan iringan orkestra Brunei Youth Symphony.

Acara kemuncak Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 ialah penyampaian Anugerah Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 dalam empat kategori, iaitu Belia Cemerlang, Belia Berkhidmat, Pemimpin Muda Belia dan Projek Cemerlang Untuk Belia.

Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2026 dianugerahkan kepada Yang Mulia Dayang Fatin Afiqah binti Md Asrul Saniy dengan menerima sebuah trofi, sebidang kain Jongsarat Bunga Bintang Gemilang, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.00.

Penerima Anugerah Belia Berkhidmat 2026 dianugerahkan kepada Yang Mulia Dayang Sarah binti Abdul Mutalif dengan menerima sebuah trofi, sebidang kain Jongsarat Bertabur Bunga Permata Bangsa, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.00.

Manakala, Penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia 2026 dianugerahkan kepada Yang Mulia Dr. Dayang Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman dengan menerima sebuah trofi, sebidang kain Jongsarat Bunga Kebahagiaan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,000.00.

Penerima Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia pula dianugerahkan kepada Projek Ekosistem Rasa: BruneiBorneo’s Culinary Landscape – The Gula Anau Story dengan menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND3,500.00 bagi perkembangan dan pembangunan projek. Projek ini merupakan inisiatif yang mengetengahkan gula anau sebagai warisan kulinari tempatan melalui pemeliharaan pengetahuan tradisi, inovasi dan pemerkasaan komuniti. Usaha ini turut memperkenalkan keunikan gula anau sebagai sebahagian daripada identiti dan khazanah kulinari di Negara Brunei Darussalam. Projek ini ditaja oleh Imagine Sendirian Berhad.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani Lembaran Kenangan dan menerima Pesambah, dan Baginda serta Kerabat Diraja dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Pameran Hari Belia Kebangsaan Ke-21, Tahun 2026 akan diadakan selama tiga hari, bermula pada Khamis, 8 Oktober 2026 hingga Sabtu, 10 Oktober 2026, mulai pukul 7.45 pagi hingga 5.00 petang kecuali Jumaat, mulai pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Konsep sambutan dan pameran pada tahun ini mengambil inspirasi selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-20, Tahun 2025 dan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-80, Tahun 2026 yang menekankan keperluan membina belia yang berjati diri, berakhlak, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran serta memperkasakan mereka untuk menjadi pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan.

Sehubungan itu, pameran disusun sebagai satu perjalanan pembangunan belia daripada membina potensi dan jati diri, membentuk nilai, menyumbang kepada masyarakat, sehingga akhirnya bersedia untuk mencipta dan menerajui masa depan negara.

Sebanyak 18 pempamer ikut serta dalam Pameran Hari Belia Kebangsaan 2026 yang dibahagikan kepada lima kluster, iaitu:

a) Kluster 1: Semangat Juara Pameran bermula dengan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan sebagai simbol bahawa setiap belia mempunyai potensi yang perlu diberikan ruang dan peluang untuk berkembang.

b) Kluster 2: Jati Diri Potensi yang dimiliki perlu mempunyai arah. Justeru belia perlu mempunyai jati diri yang kukuh, memahami identiti dan tanggungjawab mereka serta mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran dan pengaruh. Pengisian kluster ini memperlihatkan usaha dalam membentuk belia yang berdisiplin, bertanggungjawab, mempunyai semangat kebangsaan serta berpegang kepada nilai agama dan Melayu Islam Beraja (MIB).

c) Kluster 3: Akhlak Jati diri kemudiannya diterjemahkan melalui akhlak dan nilai. Belia yang berkemampuan perlu disertai dengan sifat empati, integriti, kasih sayang, hormat dan keprihatinan terhadap orang lain. Ini menjadikan pembangunan belia bukan sekadar menghasilkan individu yang berjaya, tetapi insan yang baik dan bertanggungjawab.

d) Kluster 4: Kesejahteraan Masyarakat Daripada pembangunan diri, perjalanan seterusnya bergerak kepada pembangunan masyarakat. Melalui kesukarelawanan, inklusitiviti, kesihatan, kebajikan dan kerjasama antara generasi, belia diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu masyarakat. Ini selari dengan seruan supaya belia bekerjasama dengan seluruh lapisan masyarakat, termasuk warga emas serta aspirasi agar belia memainkan peranan yang lebih bermakna dalam pembangunan sosial dan masyarakat.

e) Kluster 5: Sektor Keutamaan Ekonomi Negara Sebagai kemuncak perjalanan, belia dibawa kepada ruang pembangunan ekonomi negara melalui sektor minyak dan gas, pemakanan, pelancongan, ICT dan perkhidmatan. Belia yang telah dibentuk dengan potensi, jati diri, akhlak, daya tahan dan pengalaman menyumbang kepada masyarakat kini bersedia untuk melangkah lebih jauh – menjadi pencipta peluang, pencipta inovasi, usahawan, profesional dan pemimpin. Di sinilah aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar belia “bukan sekadar jadi penonton” tetapi bangkit sebagai “pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan” diterjemahkan sebagai kemuncak perjalanan. Pada masa yang sama, sokongan Kerajaan terhadap keusahawanan belia menunjukkan bahawa aspirasi tersebut disokong melalui penyediaan peluang dan dokongan untuk membolehkan belia berkembang dalam pelbagai sektor.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta Kerabat Diraja dijunjung bagi Majlis Santap. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta Kerabat Diraja dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

Tema Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21 pada tahun ini ialah “Belia Peneraju, Nadi Wawasan Negara”. Tema menterjemahkan anjakan strategik peranan belia daripada sekadar penerima manfaat kepada rakan pembangunan yang bersama-sama memimpin kemajuan negara.

Sebagai Nadi wawasan negara, belia menjadi penggerak utama yang menghidupkan pembangunan negara melalui tindakan dan sumbangan yang memberikan penyelesaian konkrit kepada masyarakat.

Kedudukan belia sebagai Peneraju dapat direalisasikan apabila negara menyediakan ekosistem, kepercayaan dan ruang pemudahcaraan yang membolehkan belia berani mencuba, mengetuai serta mencorakkan hala tuju masa hadapan, bukan semata-mata bertindak sebagai peserta.

Berteraskan falsafah MIB, keseluruhan sinergi ini disejajarkan demi menyokong kelangsungan Wawasan Negara bagi melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berjati diri yang bersedia untuk mewarisi, memacu serta membawa Negara Brunei Darussalam teguh melangkaui aspirasi 2035.

Hari Belia Kebangsaan disambut pada setiap 1 Ogos dan merupakan satu peristiwa penting yang menghimpunkan golongan belia di Negara Brunei Darussalam bagi meraikan peranan serta sumbangan mereka kepada pembangunan negara. Pengisytiharan 1 Ogos sebagai Hari Belia Kebangsaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan yang tinggi terhadap pergerakan belia di negara ini.

Dalam usaha membangunkan golongan belia, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian yang berterusan melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, penyediaan kemudahan prasarana, serta bantuan fizikal dan fiskal. Selain itu, Sambutan Hari Belia Kebangsaan turut menjadi wadah untuk para belia berkumpul, bertukar pandangan, mengeratkan jaringan kerjasama serta menghargai sumbangan mereka dalam pembangunan belia dan negara.

Objektif Sambutan Hari Belia Kebangsaan adalah untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan belia atas sumbangan dan pencapaian mereka, di samping mengetengahkan kejayaan serta memartabatkan peranan belia dalam pelbagai bidang. Sambutan ini juga berfungsi sebagai platform untuk membangunkan potensi belia, memperkukuhkan kepimpinan serta memacu transformasi golongan belia ke arah pembentukan generasi yang berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berwawasan. Selaras dengan tema “Belia Peneraju, Nadi Wawasan Negara”, para belia diharapkan akan terus menjadi pemacu pembangunan dan rakan strategik dalam merealisasikan aspirasi serta Wawasan Brunei 2035.