Lebih 700 orang belia yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, serta penuntut Institusi Pengajian Tinggi, pelajar Sekolah-Sekolah Menengah Kerajaan serta ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia dan sukan telah menghadiri Program Belia Berselawat Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21 Tahun 2026M dan Sambutan Maulidur Rasul 1448H yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu-Tetamu Khas ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Atur cara diisikan dengan bacaan Niat Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Rahiman bin Haji Abdul Rahman, wakil dari Belia Masjid As-Shaliheen, dan diikuti dengan Dikir Maulud diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hazmi bin Haji Abd Mutalib dari Ashabul Halim iaitu Belia Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok.
Majlis diteruskan dengan Forum Santai yang bertajuk “Selawat Penyejuk Jiwa Belia” yang dibentangkan oleh tiga ahli panel iaitu Yang Mulia Ustaz Isham bin Awang Ismail, Penceramah dari Pusat Da’wah Islamiah; Yang Mulia Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit, Duta Bahasa 2018; dan Yang Mulia Dayang Nurul Hazirah binti Haji Jahari, Kaunselor Bertauliah. Forum tersebut dimoderatorkan oleh Yang Mulia Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan, Yang Dipertua Persatuan Alumni UNISSA.
Majlis diselajurkan dengan Selawat Tafrijiyyah (An Naariyah), Selawat Badriyah, Selawat An-Nuur, Selawat Asy-Syifa dan Selawat Al-Fatih yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Farhan @Mohammad Ali bin Alim, Imam Masjid Kampong Lambak Berakas, mewakili Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara; dan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Muhd Danish Hilman bin Aziz Shamri, wakil Belia As-Shaliheen.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh dari Kumpulan Dhafwatul ‘Aisy iaitu Beliawanis Masjid Utama Mohd Salleh Bangar dan Kumpulan Firqah An-Naim dari Masjid An-Naim, Perpindahan Kampong Mengkubau.
Program Belia Berselawat Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-21 Tahun 2026M dan Sambutan Maulidur Rasul 1448H merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Belia Masjid Senegara, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Program tersebut dihasratkan untuk memperkukuh jati diri dan pembentukan akhlak mulia dalam kalangan belia melalui penghayatan amalan berselawat, di samping menjadi wadah untuk menghimpunkan masyarakat Islam, khususnya golongan belia, bagi bersama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.
