Home 5 Berita 5 Majlis Penyampaian Sijil Peringkat Separuh Akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026

Majlis Penyampaian Sijil Peringkat Separuh Akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026

Sep 20, 2026

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah melaksanakan Majlis Penyampaian Sijil Peringkat Separuh Akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026 bertempat di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta musabaqah peringkat separuh akhir yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Majlis diselajurkan dengan pengumuman keputusan musabaqah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Hakim Peringkat Separuh Akhir. Manakala doa penutup telah dibacakan oleh Yang Mulia Muhammad ‘Arief Zuhairi Chia bin Abdullah Syihab.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Separuh Akhir telah diadakan sebelum majlis penyampaian sijil yang disertai oleh 15 peserta qari dan 15 peserta qariah memperdengarkan bacaan. Mereka merupakan peserta yang terpilih melalui Peringkat Saringan yang telah diadakan pada 9 hingga 12 September 2026 yang lalu disertai oleh 107 peserta iaitu 66 qari dan 41 qariah.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026 Peringkat Akhir akan diadakan pada hari Khamis, 1 Oktober 2026 bertempat di Dewan Digadong, Bangunan KKBS. Seramai 10 peserta iaitu 5 qari dan 5 qariah termasuk Johan Menunggu Qari dan Qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2025 akan bertanding di peringkat akhir nanti.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan sejak tahun 1980-an dan telah berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.

Turut hadir di Majlis Penyampaian Sijil Peringkat Separuh Akhir ialah Yang Mulia Awang Haswandi bin Haji Osman, Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ibu bapa.

Orang ramai terutamanya para belia boleh menyaksikan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448/2026 Peringkat Akhir nanti secara langsung melalui akaun rasmi Instagram Jabatan Belia dan Sukan di @jbs.brunei.