Home 5 Berita 5 2026 China-Asean Youth Campus Dan “Bridge Of The Future” China-Asean Young Leaders Capacity Building Program 17 – 24 September 2026 Guangxi Dan Hainan, Republik Rakyat China

2026 China-Asean Youth Campus Dan “Bridge Of The Future” China-Asean Young Leaders Capacity Building Program 17 – 24 September 2026 Guangxi Dan Hainan, Republik Rakyat China

Sep 17, 2026

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan telah menghantar empat (4) orang delegasi yang terdiri daripada seorang (1) pegawai dan tiga (3) orang belia bagi menyertai 2026 China-ASEAN Youth Campus dan ‘Bridge of the Future’ China-ASEAN Young Leaders Capacity Building Program yang akan berlangsung selama lapan (8) hari bermula 17 hingga 24 September 2026 bertempat di Nanning, Guangxi dan Haikou, Hainan, Republik Rakyat China.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Yang Mulia Awang Haswandi bin Haji Osman. Rombongan tersebut diketuai oleh Dayang Shahrinah binti Haji Abdul Rahman, Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan.

Program tersebut dianjurkan oleh All-China Youth Federation (ACYF) dengan kerjasama China Youth Daily, Guangxi Youth Federation, Hainan Youth Federation serta China (Guangxi) International Youth Exchange Institute, dan disokong oleh China Young Entrepreneurs Association.

Ia merupakan salah satu program utama pertukaran belia di bawah kerjasama China-ASEAN yang bertujuan memperkukuhkan kerjasama pembangunan belia antara China dan negara-negara ASEAN menerusi platform pertukaran ilmu, perkongsian amalan terbaik serta pembangunan kapasiti belia.

Sepanjang program tersebut, para delegasi akan menghadiri Acceleration Week for China-ASEAN Youth Development Programs Partnership Meeting dan China-ASEAN Youth Work Seminar, di samping menyertai sesi perbincangan tematik, matchmaking and cooperation, serta lawatan lapangan yang memberi tumpuan kepada empat (4) bidang utama iaitu pengeluaran hijau dan teknologi karbon rendah, kecerdasan buatan, integrasi budaya dan pelancongan, serta inovasi media.

Program kali ini turut menandakan salah satu aktiviti sempena Tahun Tema 2026 bersempena ulang tahun ke-5 penubuhan Perkongsian Strategik Menyeluruh China-ASEAN, dengan membawa tema ‘Together for Youth Development and Shared Opportunities’.

Menerusi penyertaan dalam program ini, para delegasi diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman mengenai pembangunan belia serantau, di samping memperluaskan rangkaian kerjasama antarabangsa serta membawa pulang idea, pengalaman dan amalan terbaik yang dapat dimanfaatkan dalam usaha memperkasakan pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam selaras dengan aspirasi Komuniti ASEAN.