Seramai 11 orang ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada seorang atlet sukan Karate, lima orang atlet sukan Wushu, dan lima orang pegawai kontinjen termasuk Chef de Mission, Pegawai Perubatan, serta Jurulatih telah berlepas bagi menyertai Sukan Asia Ke-20, Aichi-Nagoya, Jepun 2026.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar, seterusnya memberikan ucapan nasihat dan kata-kata motivasi ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah Yang Mulia Puan Saito Keiko, First Secretary selaku wakil Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam; pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan; wakil-wakil daripada Persekutuan Karate Brunei Darussalam (BRUKAF) dan Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam; serta ahli keluarga atlet.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan nasihat serta kata-kata motivasi kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam, dan diakhiri dengan sesi gambar ramai.
Atlet Karate negara akan mula bertanding dalam acara Men’s Kumite -55kg pada 20 September 2026 bertempat di Toyohashi Gymnasium.
Sementara itu, atlet-atlet Wushu negara pula akan mula bertanding pada 20 September 2026 di Aichi Prefectural Martial Arts Hall bagi acara NanQuan, NanGun, TaijiQuan, TaijiJian, dan ChangQuan.
