Rombongan keempat Kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada pasukan Badminton seramai empat orang atlet dan seorang Jurulatih, pasukan Olahraga seramai seorang atlet dan seorang Jurulatih serta pasukan Sepak Takraw seramai lapan orang atlet, seorang Pengurus dan seorang Jurulatih telah berlepas bagi menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII di Selangor, Malaysia.
Hadir menyempurnakan Upacara Selamat Belayar dan memberikan ucapan nasihat serta kata-kata motivasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Yang Mulia Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan.
Hadir sama ialah pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan; wakil-wakil daripada Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Persatuan Olahraga Brunei Darussalam dan Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam; serta keluarga atlet.
Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan nasihat serta kata-kata motivasi kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Atlet-atlet sukan Badminton negara akan mula bertanding pada 15 Ogos 2026 bertempat di Setia City Convention Centre Hall 1 and 2, Setia Alam bagi acara Men’s Singles, Men’s Doubles dan Men’s Team.
Manakala atlet-atlet sukan Sepak Takraw akan bertanding dalam acara Regu dan Doubles bermula pada 15 Ogos 2026 di Arena MBSJ Puchong.
Sementara atlet Olahraga negara akan bertanding dalam acara 800m Lelaki pada 16 Ogos 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia, Serdang.
