Home 5 Berita 5 Asean Youth Summit On Digital Resilience And Responsible Use Of New Technologies 05 – 06 Ogos 2026 Pasay City, Metro Manila, Republik Filipina

Asean Youth Summit On Digital Resilience And Responsible Use Of New Technologies 05 – 06 Ogos 2026 Pasay City, Metro Manila, Republik Filipina

Aug 4, 2026

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan telah menghantar seramai tujuh (7) orang delegasi yang terdiri daripada seorang (1) wakil Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Belia (Senior Official on Youth – SOMY) dan enam (6) orang belia bagi menyertai ASEAN Youth Summit on Digital Resilience and Responsible Use of New Technologies yang akan berlangsung dua (2) hari bermula 5 hingga 6 Ogos 2026 bertempat di Pasay City, Metro Manila, Republik Filipina.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

Rombongan tersebut diketuai oleh Awang Mohamad Ali Noh bin Haji Masri, Pemangku Pegawai Belia dan Sukan. Turut hadir ialah pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Belia dan Sukan serta para ahli keluarga peserta rombongan berkenaan.

Sepanjang program tersebut, para delegasi akan menghadiri pelbagai sesi termasuk sesi plenari, dialog dasar, perbincangan kumpulan, perkongsian amalan terbaik, pembentangan oleh pakar-pakar serantau serta aktiviti jaringan bersama delegasi belia dari negara-negara ASEAN. Sidang kemuncak ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar pandangan mengenai peranan belia dalam memperkukuhkan daya tahan digital dan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab.

Program kali ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa belia ASEAN dalam menghadapi cabaran era digital melalui pemerkasaan literasi digital, pembinaan daya tahan terhadap ancaman dalam talian, penggunaan teknologi baharu secara beretika serta pengukuhan kerjasama serantau dalam membentuk ekosistem digital yang selamat, inklusif dan mampan.

ASEAN Youth Summit on Digital Resilience and Responsible Use of New Technologies menghimpunkan delegasi belia dan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal belia dari Negara-Negara Anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan transformasi digital serta memperkukuhkan kerjasama serantau dalam pembangunan belia.

Menerusi penyertaan dalam program ini, para delegasi diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman mengenai daya tahan digital, di samping memperluaskan rangkaian kerjasama serantau serta membawa pulang idea, pengalaman dan amalan terbaik yang dapat dimanfaatkan dalam usaha memperkasakan pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam selaras dengan aspirasi Komuniti ASEAN.