Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam, telah berangkat ke Venue Sukan Renang Tollcross International Swimming Centre, Glasgow bagi menyaksikan penyertaan atlet Negara Brunei Darussalam dalam acara renang sempena Sukan Komanwel Ke-23.
Pada sesi pertandingan tersebut, atlet renang negara, Dayang Hayley Wong, telah beraksi dalam acara Women’s 100m Freestyle dan kurang bernasib baik untuk memperbaharui rekod kebangsaannya.
Manakala Awang Joel Ling menyertai acara Men’s 200m Backstroke dan telah berjaya mencatat pencapaian membanggakan apabila memecahkan rekod kebangsaannya sendiri, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi beliau di pentas antarabangsa.
Sejurus selepas perlawanan mereka, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan ucapan tahniah kepada kedua-dua atlet atas semangat juang dan prestasi yang ditampilkan, khususnya kepada Awang Joel Ling atas kejayaan mencipta rekod kebangsaan baharu.
Duli Yang Teramat Mulia turut menasihatkan para atlet agar terus memperkukuhkan kekuatan mental, mengekalkan fokus sepanjang pertandingan serta sentiasa mengamalkan segala panduan dan strategi yang telah diberikan oleh jurulatih. Nasihat tersebut diharap akan terus menyuntik semangat kepada para atlet untuk memberikan persembahan terbaik dalam acara-acara atlet seterusnya di Sukan Komanwel Ke-23.
