Home 5 Berita 5 Upacara Selamat Belayar (Rombongan Pertama) Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel ke-23 (23rd Commonwealth Games), Glasgow, Scotland 2026

Upacara Selamat Belayar (Rombongan Pertama) Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel ke-23 (23rd Commonwealth Games), Glasgow, Scotland 2026

Jul 19, 2026

Sukan Komanwel Ke-23 dijadual berlangsung secara rasminya mulai 23 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Glasgow, Scotland.

Rombongan Pertama Kontinjen Negara Brunei Darussalam iaitu seramai 6 orang ahli terdiri daripada 3 orang atlet sukan Renang, serta 3 orang pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia (Safeguarding Officer) dan Jurulatih Renang telah berlepas ke Glasgow, Scotland bagi menyertai kejohanan tersebut.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan ucapan serta kata-kata semangat ialah Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, Pengarah Belia dan Sukan.

Majlis didahului dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim, diikuti dengan ucapan nasihat kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Negara Brunei Darussalam dalam temasya Sukan Komanwel Ke-23 ini akan menyertai 3 acara sukan daripada 10 sukan yang dipertandingkan iaitu Renang, Olahraga dan Angkat Berat.

Atlet-atlet Renang negara akan mula bertanding pada hari Jumaat, 24 Julai 2026 bertempat di Tollcross International Swimming Centre.

Hadir sama ialah Yang Mulia Mr William Roberts, Head of Chancery daripada Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, Persatuan Sukan Kebangsaan dan keluarga atlet.

Rombongan terakhir akan bertolak ke Glasgow, Scotland pada hari Selasa, 21 Julai 2026.