Home 5 Berita 5 Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Komanwel Ke-23, 2026, Glasgow, Scotland

Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Komanwel Ke-23, 2026, Glasgow, Scotland

Jul 13, 2026

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Komanwel Ke-23, 2026, Glasgow, Scotland yang diadakandi Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

 Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda, seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Yang Mulia Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Komanwel Ke-23, 2026, Glasgow, Scotland. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama Duli Yang Teramat Mulia.

 Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Ken O’Flaherty, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan; dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; serta ahli keluarga atlet.

Sukan Komanwel merupakan antara temasya sukan antarabangsa yang berprestij selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia. Kejohanan yang diadakan setiap empat (4) tahun sekali itu akan berlangsung di Glasgow, Scotland, bermula pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Bagi temasya Sukan Komanwel Ke-23 Tahun 2026, Negara Brunei Darussalam akan diwakili oleh seramai 12 orang ahli kontinjen, yang terdiri daripada enam (6) orang atlet dan enam (6) orang pegawai. Enam (6) orang atlet tersebut, iaitu tiga (3) orang atlet lelaki dan tiga (3) orang atlet wanita, akan bersaing dalam tiga (3) daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan, iaitu olahraga, renang dan angkat berat. Sementara itu, barisan pegawai kontinjen terdiri daripada seorang Chef de Mission (CDM), seorang KetuaUrus Setia, seorang Pegawai Urus Setia dan tiga (3) orang jurulatih.

Negara Brunei Darussalam mula menyertai Sukan Komanwel pada tahun 1990. Kali terakhir negara menyertai kejohanan tersebut ialah pada tahun 2022 yang diadakan di Birmingham, England.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam dijangka bertolak ke Glasgow, Scotland pada 19 Julai dan 21 Julai 2026.