Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima ganjaran kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan bagi atlet-atlet Negara Brunei Darussalam yang berjaya meraih pingat pada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 Tahun 2025 di Thailand. Majlis berlangsung di Istana Nurul Izzah.
Juga menerima Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. Ganjaran tersebut merupakan pengiktirafan atas kejayaan Pasukan Polo Negara memenangi Pingat Perak dalam acara Polo 2–4 Goals dan Pingat Gangsa dalam acara Polo 4–6 Goals pada temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Ke-33 Tahun 2025.
Penyampaian ganjaran tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
