Program Pertukaran Belia Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea 2026 telah diadakan selama sepuluh hari bermula pada 24 Jun hingga 3 Julai 2026 yang mana seramai 15 orang delegasi dari Republik Korea hari ini telah diraikan di Majlis Perpisahan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bertempat di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Program Pertukaran Belia Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea merupakan salah satu daripada program di bawah perjanjian kerjasama atau Arrangement on Cooperation on Youth Matters yang telah dimeterai diantara kedua buah kerajaan dan telah dipersetujui pada 10 Februari 2010.
Program tersebut dianjurkan secara kerjasama oleh Korea Youth Work Agency dan Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam yang bertujuan antara lain untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah di kalangan belia-belia kedua buah negara dalam suasana harmoni dan setiakawan melalui interaksi yang sihat selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan dan pengalaman berguna dari sudut sosio-ekonomi, sosio politik, adat resam dan kebudayaan termasuk bahasa.
