Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

SKBD KE-4 BAKAL BERMULA

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Ogos. - Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Kali Ke-4, 2018 akan bermula tidak lama lagi.

Sehubungan ini, penyerahan baju-baju kontinjen Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam bagi pasukan Daerah Brunei Muara diadakan di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei Muara, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat menyerahkan bendera kepada Ketua Pasukan, Pemangku Pegawai Daerah Brunei Muara, Awang Haji Ali bin Mat Yassin.

Seramai 611 orang terdiri pengurus, jurulatih, atlet dan urusetia akan mewakili Daerah Brunei Muara dengan menyertai 31 acara.

SKBD merupakan kejohanan sukan tahap tinggi di peringkat kebangsaan di Negara Brunei Darussalam dan pengendalian sukan yang terbesar di peringkat kebangsaan ini adalah sesuatu yang positif, di mana segenap lapisan masyarakat berperanan terhadap perkembangan serta kemajuan sukan tanah air yang termasuk Sukan Prestasi Tinggi.

Bermula dengan Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) pada tahun 80an yang sekarang dikenali sebagai SKBD, kejohanan ini telah berjaya menggerakkan kegiatan sukan tanah air sehinggalah ia mampu menjadi sebagai acara kebangsaan dan sekali gus dapat mengaktifkan Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan di negara ini, dalam merangka dan mengatur program-program sukan mereka dan telah dapat pula melahirkan bakat-bakat sukan yang berpotensi, serta menonjolkan pemimpin-pemimpin sukan yang komited.

Sukan memainkan peranan penting dan menjadi wadah untuk mewujudkan satu masyarakat yang sihat, cergas, berdisiplin dan yang paling utama dapat memupuk dan mengeratkan tali silaturahim, serta semangat perpaduan yang kental di kalangan peserta, pengendali-pengendali dan juga anggota masyarakat di sekelilingnya.


Sumber: Pelita Brunei


Attachments
Created at 8/26/2018 2:15 PM by Muhd. Hafizul 'Ilmi Bin Hj Zaini @ Zatul Hilmi
Last modified at 8/28/2018 4:04 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar