Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

FUTSAL: TEMBURONG MARA KE SEPARUH AKHIR

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Pasukan Daerah Temburong hari ini telah berjaya mara ke peringkat separuh akhir acara futsal Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) kali ke-4, 2018 sekaligus mengalahkan pasukan pilihan, Daerah Belait. Dalam perlawanan penutup Kumpulan A hari ini, Daerah Temburong mencatat kemenangan 9-2 ke atas Gabungan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSJV) untuk mengutip 8 mata, sama dengan Persatuan Bank-bank Brunei, yang menang 5-0 ke atas Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SBD) malam tadi.

Kemenangan Daerah Temburong itu membawa pasukan itu ke puncak carta Kumpulan A dengan kelebihan 22 jaringan dan 11 bolos berbanding 15 jaringan dan 9 bolos yang dicatat Persatuan Bank-Bank Brunei di tempat kedua.

Walau bagaimanapun detik paling penting buat Daerah Temburong adalah pada Jumaat lalu apabila berhasil mencatat keputusan seri 3-3 dengan Daerah Belait yang bermain perlawanan terakhirnya pada peringkat kumpulan, sekaligus menghadkan jumlah mata Daerah Belait kepada 7 mata saja.

Daerah Belait yang bermula cemerlang dengan dua kemenangan perlawanan awal ternyata kehilangan momentum apabila sekadar mengutip 1 mata dari dua perlawanan terakhirnya bermula dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Persatuan Bank-bank Brunei dan seri 3-3 dengan Daerah Temburong.

Dalam perlawanan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah hari ini, Daerah Temburong mendahului 5-1 pada separuh masa pertama, dengan gol pertamanya terhasil pada minit pertama menerusi rembatan Mohd Ehsan bin Haji Moksin.

Ketua pasukan, Awangku Mohd Naqib bin Pengiran Timbang meledakkan gol kedua Daerah Temburong pada minit ke-3, sebelum ditambah oleh Awang Rainney bin Luis beberapa saat kemudian. Awang Hassan bin Asnan menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-7 tetapi BSJV menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-10 yang disumbangkan oleh Awang Naasiruddeen Abdul Wahab.

Empat minit kemudian Awang Muhammad Nur Syazwan bin Halid menjaringkan gol kelima Daerah Temburong dan kedudukan 5-1 itu kekal sehingga ke masa rehat.

Empat minit selepas rehat, Awang Mohd Amirul Akmal bin Saidin menjadikan pendahuluan Daerah Temburong kepada 6-1, disusuli jaringan Awangku Mohd Naqib seminit kemudian.

Kedudukan menjadi 7-2 apabila Noor Azfaruddin Azmi Noor berjaya menggegar gawang Daerah Temburong.

Dua lagi gol Daerah Temburong hadir pada minit ke-30 dan ke-35 masing-masing oleh Awang Mohd Norhakim Said Zakwan dan Hassan, sekaligus memuktamadkan keputusan 9-2 memihak Daerah Temburong.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 9/4/2018 8:45 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 9/4/2018 8:45 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar