Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

SAINGAN SENGIT LAWAN PEDANG

KUALA BELAIT, 2 Sept – Acara sukan lawan pedang bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) ke-4 2018, hari ini menutup tirai dengan enam perlawanan peringkat akhir dalam kategori disiplin Sabre, Epee dan Foil untuk kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Mumong itu telah menyaksikan Hajah Anis Sabrina dari Pasukan Institusi Pengajian Tinggi merangkul pingat empas apabila menumpaskan rakan sepasukannya Wardatul Izzah yang merangkul pingat perak dalam perlawanan akhir Kategori Sabre Wanita Perseorangan. Manakala dua peserta Daerah Brunei dan Muara iaitu Dayangku Siti Syahirah dan Norhaziqah Zamri terpaksa akur memperoleh pingat gangsa pada acara tersebut.

Dalam Kategori Epee Wanita Perseorangan pula dikuasai oleh Khalizah Khaldon daripada Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) yang menumpaskan peserta Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) iaitu Najihah Basyirah dan memperoleh pingat gangsa bersama adalah Nurul Massanita daripada MS ABDB dan Nurul Syafiqah daripada Pasukan MSSBD.

Sementara itu, bagi acara terakhir semalam menyaksikan Eleena Anuar yang mewakili Daerah Brunei dan Muara meraih pingat emas apabila menumpaskan rakan sepasukannya Nova Rowena, manakala pingat gangsa pula diraih oleh Darin Illiya daripada Daerah Brunei dan Muara dan Dayangku Nuranisa Hafillah daripada MS ABDB.

Tiga lagi perlawanan berlangsung hari ini menyaksikan acara perlawanan akhir bagi bahagian lelaki dan pada acara pertama iaitu Kategori Sabre Perseorangan Lelaki di menangi oleh Anaqi Danish Asahrin daripada MSSBD yang menumpaskan Muhd Haziq Asahrin daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara. Manakala berkongsi pingat gangsa ialah Muhammad Amran daripada Daerah Tutong dan Mohd Yunus Haji Abdul Hamid daripada MS ABDB.

Dalam acara Kategori Foil Perseorangan lelaki pula menyaksikan dua peserta dari Daerah Tutong menduduki tempat teratas antaranya Khairul Quddus Mohd Roalee meraih pingat emas dan Richard Paul Bannister berjaya meraih pingat perak. Sementara meraih pingat gangsa bersama ialah dua peserta Daerah Belait iaitu Muhd Rifhan Zuhair Ideris dan Ahmad Wajdi Haji Zainoren.

Acara terakhir hari ini Kategori Epee Perseorangan Lelaki turut menyaksikan penguasaan peserta Daerah Brunei dan Muara antaranya Mohammad Hafizzi Ilah tampil dengan pingat emas, Awangku Ahmad Sofhi Pengiran Idris dengan pingat perak.

Beroleh pingat gangsa bersama dalam acara itu ialah dua peserta MS ABDB iaitu Abdul Azim Ibrahim dan Suzaimi Sulaiman.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 9/4/2018 8:41 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 9/4/2018 8:41 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar