Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PARA ATLET SKBD DIINGATKAN AGAR JAUHI UBAT-UBATAN TERLARANG

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 September. - Para atlet yang bertanding di Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) ke-4, 2018 diingatkan untuk menjauhkan diri dari mengambil sebarang ubat-ubatan terlarang atau menghindarinya (doping).

 

Perkara tersebut antara yang ditegaskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam ucapan alu-aluan semasa Majlis Pembukaan Rasmi SKBD Ke-4, 2018 yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

 

Datin Paduka Dr. Hajah Norlila  yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi SKBD Ke-4, 2018, turut menekankan bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja perbuatan yang merugikan diri sendiri dan mencemarkan nama baik sukan, akan tetapi membahayakan kepada kesihatan.

 

Menyentuh mengenai penyertaan kejohanan tersebut, beliau menjelaskan, bahawa pada tahun ini, sebanyak 31 acara sukan dipertandingkan dan disertai oleh 13 kontinjen, termasuk kontinjen jemputan iaitu Majlis Sukan Sabah dan melibatkan seramai 3,552 peserta terdiri daripada atlet, pegawai dan jurulatih.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan kejohanan tersebut ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw.

 

Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Yang Dipertua dan Setiausaha Agung Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan serta pegawai-pegawai dari agensi kerajaan dan swasta.

 

Aturcara dimulakan dengan perbarisan lalu kontinjen-kontinjen yang menyertai SKBD Ke-4, didahului oleh Pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, diikuti dengan pembawa bendera logo Sukan Kebangsaan dan pembawa bendera Negara Brunei Darussalam  (NBD) yang terdiri dari Pelatih Program Khidmat Bakti Negara dan kontinjen-kontinjen Daerah Brunei  Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong, Daerah Temburong, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB), Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSSBD), Institusi Pengajian Tinggi (UBD, UTB, UNISSA, BICPA, Politeknik, KUPUSB, IGS, Cosmopolitan, Micronet, Kolej Laksmana dan IBTE), Gabungan Syarikat Telekomunikasi Brunei (AITI, TelBru, DST dan PCSB), Gabungan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSJV), Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan Persatuan Bank-Bank Brunei dan diakhiri oleh gabungan pegawai-pegawai teknikal dan hakim kejohanan dari Persatuan dan Persekutuan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam.

 

Kemudian, acara diteruskan dengan upacara menaikkan bendera SKBD yang dibawa masuk oleh empat orang atlet yang pernah mengharumkan negara di Sukan Asia Tenggara dan Sukan Antarabangsa.

 

Mereka ialah Awang Shahril bin Haji Mayalin, atlet sukan pencak silat; Awang Arman bin Haji Sanip, atlet sukan olahraga; Awang Irwan bin Haji Ibrahim, atlet sukan pencak silat dan Awang Lim Chee Wee, atlet sukan olahraga.

 

Seterusnya, bacaan ikrar sukan yang dipimpin oleh wakil Kontinjen Daerah Brunei Muara, Dayang Norleyermah binti Haji Raya, atlet sukan pencak silat yang merupakan pemenang pingat perak dalam Kategori Tunggal Wanita di Sukan SEA Ke-24, Thailand pada tahun 2007, pemenang pingat gangsa dalam Kategori Tunggal Wanita dan Regu Wanita di Sukan SEA Ke-26, Palembang, Indonesia pada tahun 2001, juga memenangi pingat gangsa dalam Kategori Tunggal Wanita di Sukan SEA Ke-27, Myanmar pada tahun 2013 dan pemenang pingat perak dalam Kategori Tunggal Wanita di Sukan SEA Ke-29, Kuala Lumpur pada tahun 2017.

 

Manakala bacaan ikrar pegawai-pegawai teknikal diketuai oleh Haji Sayed Jefferydean bin Haji Sayed Mohammad yang merupakan juri bagi sukan karatedo yang menerima pengiktirafan dari World Karatedo Federation dan mewakili NBD sebagai juri pertandingan di kejohanan Sukan Asia Ke-18 di Palembang, Indonesia pada tahun 2018.

 

Upacara pada petang itu juga dimeriahkan lagi dengan dua perlawanan Tarik Kalat Tradisi bagi Kategori A (70kg Individu) dan Kategori B (1100kg Terkumpul) di antara Kontinjen Daerah Belait menentang Kontinjen MS ABDB yang mana kedua-dua kategori telah dimenangi oleh Kontinjen Daerah Belait.

 

Kejohanan SKBD mempertandingkan sebanyak 31 acara sukan iaitu ialah Badminton, Basikal, Bola Jaring, Bola Keranjang, Bola Lesut, Bola Sepak, Bola Tampar, Boling Padang, Catur, Dart, Futsal, Gasing, Golf, Hoki, Karate, Kayak, Kiu, Lawan Pedang, Lumba Perahu, Olahraga, Pencak Silat, Ping Pong, Ragbi, Renang, Sepak Takraw, Shorinji Kempo, Squasy, Taekwando, Tarik Kalat, Tenpin Bowling dan Wushu.

 

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai SKBD,  layari laman sesawang rasmi kejohanan tersebut di http://www.kkbs.gov.bn/skbd.


Sumber: Pelita Brunei
Attachments
Created at 9/3/2018 11:10 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 9/3/2018 11:10 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar