Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

HATRIK MOHD AZIZUL IKAT PASUKAN DAERAH TEMBURONG

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Perlawanan antara Pasukan Daerah Belait dan Daerah Temburong menyaksikan saingan hebat untuk berada di dua kedudukan teratas Kumpulan B yang akhirnya terus dikuasai oleh Pasukan Daerah Belait manakala Pasukan Daerah Temburong berada di tempat kedua berkongsi lima mata bersama Pasukan Gabungan Bank-bank Brunei Darussalam.

Perlawanan bermula dengan jaringan awal oleh Mohamad Azizul Syafiee dari Pasukan Daerah Belait yang menggegarkan gawang Pasukan Daerah Temburong pada minit kedua sebelum Awangku Mohd Azreen Eskander menyamakan kedudukan pada minit ke-11.

Perlawanan mula berubah corak apabila jaringan penyamaan Pasukan Daerah Temburong yang menyaksikan pasukan itu bertambah garang dengan mendahului Pasukan Daerah Belait.

Awangku Mohd Azreen Eskander menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-26 dan menyuntik semangat rakan sepasukannya sehingga berjaya meraih jaringan ketiga melalui Awangku Muhd Naqib pada minit ke-31.

Meskipun menerima tekanan hebat daripada Pasukan Daerah Temburong, Pasukan Daerah Belait terus memberikan respons dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohamad Azizul Syafiee.

Pada minit ke-37 Mohamad Azizul Syafiee menjaringkan gol kedua buat pasukannya sebelum selang dua minit kemudian beliau berjaya melengkapkan hatriknya dan sekali gus mengikat perlawanan dengan jaringan 3–3.

Pada perlawanan kedua pula menyaksikan Pasukan Daerah Brunei dan Muara membenam Pasukan Daerah Tutong dengan jaringan 7–3.

Gol Pasukan Daerah Brunei dan Muara dijaringkan oleh Syazwan, Abdul Khabiir, Mohammad Fardi Farhan, Noor Raimi @ Syahremi dan hatrik oleh Fakhri Bangkul.

Manakala, jaringan dari Pasukan Daerah Tutong pula disumbangkan oleh Mohd Aizat Saiful Rizal, Mohamad Aqmal Kafali dan Muhammad Al-Qadhry.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 9/3/2018 10:51 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 9/3/2018 11:14 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar