Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PASUKAN BSJV, DAERAH BELAIT BERAKSI CEMERLANG

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Dua lagi perlawanan bola keranjang meneruskan saingan bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam kali ke-4 di Dewan Bola Keranjang, Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) di Batu Bersurat, semalam.

Pada saingan pertama, Pasukan Daerah Tutong berjaya menewaskan Pasukan Institusi Pengajian Tinggi dengan mengutip jaringan mata 109-67.

Pasukan Daerah Tutong mengusai perlawanan pada suku pertama apabila mendahului pasukan lawan dengan kutipan mata 28-22 sebelum menang pada suku kedua dengan mengutip jaringan mata 24-12.

Pada separuh masa pertama, Pasukan Daerah Tutong meneruskan penguasaan mereka dengan memenangi saingan suku ketiga dengan mengutip 28-26 dan perlawanan dihentikan selepas suku ketiga.

Pada saingan kedua pula, menyaksikan Pasukan Gabungan Syarikat-syarikat Brunei Shell (BSJV) terpaksa berhempas pulas apabila menerima tentangan hebat daripada Pasukan Daerah Belait.

Pada suku pertama Pasukan BSJV ketinggalan 13-25 namun bangkit pada suku kedua apabila merapatkan jurang dengan mata 26-20 dan mula mendapat rentak pada saingan suku ketiga, apabila mereka tampak lebih selesa dan akhirnya meninggalkan Pasukan Daerah Belait dengan mata 26-14, meskipun tewas pada suku akhir dengan kutipan mata 20-22.

Pasukan BSJV muncul sebagai juara apabila pada keseluruhannya berjaya mengutip 85 mata berbanding 81 di pihak Pasukan Daerah Belait.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 9/1/2018 9:55 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 9/1/2018 9:55 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar