Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

87 ATLET PDB SERTAI SKBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) akan menghantar seramai 87 orang atlet untuk menyertai Sukan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (SKBD) kali ke-4, tahun ini.

Dalam hubungan itu, kesemua atlet adalah disarankan untuk memberikan saingan yang terbaik dan memperoleh kemenangan dalam acara sukan yang disertai. Saranan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Polis, PDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam ketika berucap di Majlis Penyerahan Bendera PDB kepada kontinjen Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) yang berlangsung di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat PDB, Gadong, hari ini.

“Kesemua pegawai dan anggota haruslah sentiasa ingat mengingati untuk terus menjaga nama baik PDB dengan menjaga disiplin dan kewibawaan masing-masing,” katanya.

Pada SKBD yang lalu, kontinjen MS PDB berjaya muncul sebagai naib johan dan ia mencerminkan prestasi dan pencapaian membanggakan serta menunjukkan tahap kesihatan warga PDB adalah amat baik.

Majlis seterusnya menyaksikan, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy diperkenalkan kepada pengurus pasukan yang disertai oleh kontinjen MS PDB, diikuti dengan majlis penyerahan bendera MS PDB kepada Pengerusi MS PDB, Snr Supt Haji Chipli bin Haji Mohammad selaku Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Gerakan.

Penyertaan atlet PDB adalah bertujuan untuk mencungkil bakat baharu bagi meningkatkan prestasi negara bagi sukan antarabangsa yang bakal disertai, di mana mereka akan menyertai enam acara SKBD iaitu karate, kayak, pencak silat, olahraga, lumba perahu dan tekwando.

SKBD disertai oleh sebanyak 15 buah kontinjen termasuk tiga kontinjen jemputan dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam temasya sukan itu, sebanyak 31 acara sukan dipertandingkan di mana sebanyak 281 pingat emas, 281 pingat perak dan 375 pingat gangsa akan menjadi rebutan dalam kejohanan yang bermula pada 1 hingga 8 September.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 9/1/2018 9:50 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 9/1/2018 9:50 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar