Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

FUTSAL SKBD PENUH DEBARAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Ampuan Mohd Badruddin Asri muncul wira pasukan Persatuan Bank-Bank Brunei apabila beliau membantu pasukannya membenam hasrat Pasukan Daerah Belait untuk terus mencatatkan kemenangan di dalam Kumpulan A sukan futsal di temasya Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam ke-4 hari ini.

Pasukan Daerah Belait terpaksa akur dengan jaringan tunggal dalam perlawanan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas apabila beliau berjaya melepaskan diri daripada pertahanan lawan untuk mengalahkan penjaga gol Daerah Belait.

Kemenangan 1–0 itu merapatkan lagi jurang perbezaan jaringan di antara Pasukan Bank-bank Brunei yang kini berada satu mata di belakang pendahulu Kumpulan A iaitu Pasukan Daerah Belait yang meraih enam mata sebelum ini.

Sementara itu, pada sebelah petang tadi pula menyaksikan Pasukan Daerah Temburong turut berjaya membawa pulang tiga mata dan sekali gus turut menghampiri pasukan teratas Kumpulan A apabila berjaya mengutip mata keempatnya untuk berada di tempat ketiga setakat hari ini.

Pada perlawanan itu, Pasukan Daerah Temburong membuka tirai jaringan melalui Awangku Mohd Azreemn Eskander pada minit ketujuh perlawanan sebelum jaringan kedua pasukan itu oleh Muhammad Nur Syazwan selang tiga minit kemudian.

Belum pun lama jaringan kedua Pasukan Daerah Temburong Muhammad Abdul Azim Zaini pula menambah tekanan kepada Pasukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam apabila berjaya menambah jaringan ketiga pasukannya pada minit ke-15.

Pasukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam tidak berputus asa sebaliknya cuba mencari ruang dan peluang untuk menembusi benteng Pasukan Daerah Temburong dan akhirnya berjaya melalui jaringan Muhd Wafiuddin pada minit ke-17.

Namun begitu Pasukan Daerah Temburong bukanlah pasukan yang mudah untuk dihadapi apabila tiga lagi jaringan pada minit ke-21, 28 dan 31 oleh Awangku Muhd Naqib, Muhammad Nur Syazwan dan Muhammad Yasyri.

Dengan jaringan itu Pasukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam tidak pulang dengan tangan kosong apabila tiga minit kemudian Abdul Badri Izdihar menjaringkan gol sagu hati kedua pasukannya menjadikan kedudukan akhir 6–2 berpihak kepada Pasukan Daerah Temburong

Sementara itu, semalam Pasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pula terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Pasukan Daerah Brunei dan Muara apabila juara bertahan itu ditembusi sebanyak tujuh kali yang menyaksikan Pasukan Daerah Brunei dan Muara menang 7-3.

Dua lagi perlawanan akan berlangsung esok bagi Kumpulan B iaitu pada sebelah petang perlawanan antara Gabungan Syarikat Telekomunikasi Brunei dan Pasukan Daerah Temburong.

Sementara itu, Pasukan IPT pula akan berhadapan dengan pasukan yang kini menduduki di tempat teratas Kumpulan B iaitu Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada sebelah malam.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 8/30/2018 9:06 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 8/30/2018 3:16 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar