Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

SAINGAN HOKI DI TERUSKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Sebanyak empat perlawanan telah berlangsung bagi sukan hoki pada Temasya Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) ke-4 di Kompleks Hoki, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pada perlawanan pertama semalam bagi acara lelaki Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) membenam Pasukan Daerah Tutong dengan jaringan 3–1 dan jaringan pertama pasukan itu hadir melalui Soldadu (U) Radin pada minit ke-33.

Selang tiga minit kemudian jaringan kedua Pasukan MS ABDB disempurnakan oleh Soldadu (U) Azrul sebelum Wirawandy daripada Pasukan Daerah Tutong merapatkan jurang jaringan.

Wirawandy bertindak cemerlang apabila berjaya memanfaatkan peluang di hadapan gawang MS ABDB dan menewaskan penjaga gawang pasukan lawan pada minit ke-37 menjadikan kedudukan 2–1.

Namun begitu Soldadu (U) Radin tidak menghampakan apabila pada suku terakhir beliau berjaya menambahkan jaringan pasukannya dan akhirnya menyimpul perlawanan dengan kemenangan 3-1.

Pada perlawanan kedua pula menyaksikan Pasukan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei berpesta gol apabila membenam Pasukan Daerah Brunei dan Muara dengan jaringan 8–0.

Jaringan-jaringan pasukan itu disempurnakan oleh Saiful Azmi, Pengiran Ariffin, Mualiadi Sarjana, Mohd Hassan Buang, Aedysofian Ibrahim dan Haji Ibrahim Makhbar.

Hari ini sekali lagi Pasukan MS ABDB menunjukkan aksi garang apabila membenam Pasukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan jaringan 7–0.

Tampil menjaringkan gol pada perlawanan itu adalah Sarjan (U) Ezrith, Koperal Mohd Fouhad Sapar, dua jaringan Lans Koperal Rufendi Shah dan hatrik dijaringkan oleh Soldadu (U) Azrul Amran.

Pada sebelah malam pula menyaksikan Nursajdiyah Arbi muncul wira Pasukan IPT bagi kategori wanita apabila pasukan itu membuka tirai hoki kontinjennya dengan kemenangan 1-0 ke atas Pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 8/30/2018 8:47 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 8/30/2018 8:49 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar