Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

429 ATLET WAKILI DAERAH BELAIT

KUALA BELAIT, Selasa, 28 Ogos. - Daerah Belait akan menghantar seramai 429 atlet dan 17 petugas semasa berlangsungnya Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) yang akan diadakan pada 1 hingga 9 September ini.

 

Kontinjen tersebut akan menyertai 27 acara daripada 31 acara yang dipertandingkan, iaitu Badminton, Bola Jaring, Basikal, Bola Keranjang, Bola Lesut, Bola Sepak, Bola Tampar, Boling Padang, Catur, Dart, Futsal, Golf, Karate-Do, Kiu, Lawan Pedang, Lumba Perahu, Olahraga, Pencak Silat, Ping Pong, Rugby, Renang, Sepak Takraw, Squash, Taekwando, Tarik Kalat, Tenpin Bowling dan Wushu.

 

Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Daerah Belait diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait.

 

Penyerahan bendera kontinjen disampaikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad kepada Pegawai Pentadbir Kanan di Jabatan Daerah Belait, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad selaku Ketua Pasukan Daerah Belait yang kemudiannya diserahkan kepada pembawa bendera Awang Muhd. Ameerul Solehen bin Muhd Kassim, atlet Taekwando.

 

Beliau merupakan atlet yang banyak menyertai kejohanan Taekwando di dalam mahupun di luar negara.

 

Antara kejohanan yang pernah disertainya ialah mendapat tempat pertama Pertandingan Taekwando Kebangsaan Brunei dan mengutip pingat emas Piala Puteri Diraja Thailand yang diadakan tahun ini.

 

Ketua Pasukan juga menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada penaja-penaja yang menaja kontinjen Daerah Belait.

 

Pada Kejohanan SKBD Kali Ke-3, Daerah Belait berjaya menduduki tempat ketiga daripada 14 kontinjen yang menyertai dengan mendapat enam pingat emas, enam pingat perak dan empat pingat gangsa.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong-penolong Ketua Pasukan Daerah Belait, pengurus-pengurus pasukan dan atlet-atlet yang menyertai sukan tersebut, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Belait.

 

SKBD merupakan sukan yang diungkayahkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan dikelolakan oleh persatuan-persatua sukan di negara ini.


Sumber: Pelita Brunei


Attachments
Created at 8/29/2018 8:47 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 8/29/2018 8:48 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar