Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

SKBD Ke-4 PERTANDINGKAN 937 PINGAT

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Ogos. - Penyertaan peserta dalam Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Kali Ke-4 Tahun 2018, merupakan yang terbesar setakat ini dengan penyertaan sebanyak 3,536 peserta yang akan berentap dalam 31 jenis acara sukan, bagi merebut keseluruhan 937 pingat yang dipertandingkan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed pada Sidang Media SKBD yang diadakan di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Jalan Kebangsaan, di sini.

SKBD yang diadakan dua tahun sekali sejak 2012, merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk membina serta memajukan tahap dan prestasi ahli-ahli sukan di negara ini, dengan penyertaan secara berkontinjen sebagai medan untuk memilih ahli sukan berkelayakan untuk mewakili negara, di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sebanyak 12 kontinjen akan menyertai SKBD kali ini, iaitu dari Daerah Brunei dan Muara; Daerah Belait; Daerah Tutong; Daerah Temburong; Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Majlis Sukan Polis Diraja Brunei; Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam; Institusi Pengajian Tinggi; Gabungan Syarikat Telekomunikasi Brunei; Gabungan Syarikat Minyak Brunei Shell; Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, dan Persatuan Bank-Bank Brunei.

Sementara itu, Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat selaku Setiausaha SKBD mengongsikan, acara-acara sukan yang akan diadili mengikut syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang diluluskan oleh Persatuan / Persekutuan Sukan Kebangsaan dengan merujuk Peraturan Antarabangsa.

Majlis diakhiri dengan penyampaian Poster SKBD kepada wakil-wakil kontinjen yang akan bertanding disempurnakan oleh Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Majlis Pembukaan Rasmi SKBD Ke-4 tahun ini akan berlangsung pada 1 September depan bertempat di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Tahun ini SKBD dikelolakan bersama dengan KKBS dan Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam.


Sumber: Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/28/2018 3:32 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 8/28/2018 3:45 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar