Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

SKBD: TIGA PASUKAN MENYERLAH

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Kejohanan bola sepak bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) ke-4 2018 diteruskan lagi hari ini yang menyaksikan beberapa perlawanan telah berlangsung di beberapa buah lokasi di sekitar ibu kota.

Dalam perlawanan hari ini, Pasukan Gabungan Syarikat Brunei Shell, Pasukan Daerah Temburong dan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) masing-masing pulang dengan tiga mata.

Di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Pasukan Gabungan Syarikat Brunei Shell mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Pasukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei.

Sementara itu, Pasukan Daerah Temburong pula meraih kemenangan selepas menumpaskan Pasukan Daerah Belait 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas.

Perlawanan ketiga hari ini menyaksikan Pasukan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Pasukan MS ABDB di Kompleks Sukan Sungai Kebun dengan jaringan 1-4.

Sementara itu, pada satu perkembangan yang lain semalam Pasukan Daerah Tutong membanjiri Kompleks Sukan Berakas dengan jaringan ke atas Pasukan Gabungan Syarikat Telekomunikasi Brunei dengan jaringan 8-0.

Pasukan Daerah Tutong membuka tirai jaringan melalui Mohd Ahanafizal pada minit keempat sebelum selang dua minit kemudiannya rakan sepasukannya Reniel Ruani menggandakan jaringan buat Daerah Tutong.

Pada minit ke-25 gawang Pasukan Gabungan Syarikat Telekomunikasi Brunei digegarkan lagi dan kali ini giliran Haji Saiful Bazirul Azli menjaringkan gol ketiga Daerah Tutong dan keputusan 3-0 berpihak kepada Daerah Tutong pada separuh masa pertama.

Serangan Pasukan Daerah Tutong ternyata tidak berhenti di situ apabila Hairol Azaman menambah jaringan bagi Daerah Tutong pada minit ke-55 sebelum selang 22 minit kemudian Reniel Ruani menambah jaringan peribadinya dan membantu Pasukan Daerah Tutong mendahului dengan mata 5-0.

Tiga minit terakhir perlawanan berkenaan turut menyaksikan aksi menarik apabila tiga jaringan termasuk dua pada waktu kecederaan yang dijaringkan oleh Muhd Syukri pada minit ke-87, Mohd Ari Saizul Fadhil Ariffin minit ke-90 dan Abang Hazim pada dua minit waktu tambahan menjadikan keputusan berakhir dengan jaringan 8-0 berpihak kepada Pasukan Daerah Tutong.

Sumber: Media Permata



Attachments
Created at 8/28/2018 2:10 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 8/28/2018 3:56 PM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar