Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

CABARAN KAYAK SKBD SENGIT

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Sebanyak 10 kategori dipertandingkan dalam acara sukan kayak, Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam kali ke-4, yang diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas, di sini, hari ini.

Acara berkenaan telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Presiden Persatuan Kayak Kebangsaan Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar serta isteri Datin Hajah Norlina binti Dato Haji Abu bakar.

Acara Perseorangan Lelaki, dimenangi oleh Mohd Fauzishah Ladi daripada Pasukan Daerah Temburong setelah mencatatkan masa 6:40.47 minit dalam acara 1000m dan diekori rapat oleh Abdul Karim bin Haji Chuchu daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara setelah ketinggalan lima saat, disusuli oleh Mohammad Sallehin Masri daripada Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB).

Bagi acara Double 1000m Lelaki pula, dimenangi oleh gandingan Asria Haji Ismail dan Mohd Fauzishah Ladi daripada Pasukan Daerah Temburong, diikuti oleh Pasukan Daerah Brunei dan Muara menerusi Mohammad Azizi Shafie bin Haji Mohd Khudzairi dan Khairul Anuar Abdullah, manakala di tempat ketiga diraih oleh Mohammad Sallehin Masri dan Raziman Mohammad Shah daripada MS PDB.

Manakala, juara dalam acara 500m Campuran dijuarai oleh Qurratu Aini Qayyimah binti Dr AL-Haj Zelzy dan Hassan bin Haji Zainal daripada Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB), disusuli oleh gandingan Asria dan Nur Ayu Qistina Abdullah daripada Pasukan Daerah Temburong, dan Hetty Hartini binti Talip dan Khairul Anuar bin Abdullah daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara di tempat ketiga.

Dalam acara Lelaki Perseorangan sejauh 500m pula menyaksikan peserta dari Daerah Brunei dan Muara, Mohammad Arif Latif meraih pingat emas setelah meninggalkan pencabar terdekatnya Asria di tempat kedua dan disusuli oleh Sahairol bin Haji Yahya dari MS ABDB.

Sementara itu, gandingan peserta wanita Daerah Temburong menerusi Haslina binti Haji Abu bakar dan Nur Ayu Qistina berjaya meraih pingat emas dalam acara 5000m Double Wanita, diikuti oleh Ardiana binti Haji Ahmad dan Azlinawati binti Haji Puasa daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara, disusuli oleh gandingan daripada MS ABDB.

Dalam acara Double Lelaki pula dimenangi oleh Mohd Fauzishah Ladi dan Awangku Shahdoney bin Pengiran Daud daripada Pasukan Daerah Temburong setelah mencatatkan 2:46.64 minit untuk merangkul pingat emas, meninggalkan gandingan daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara Mohammad Azizi Shafie bin Haji Khudzairi dan Khairul Anuar Abdullah, disusuli oleh gandingan daripada MS PDB.

Bagi acara Double Lelaki 200m pula menyaksikan gandingan MS ABDB, Hassan bin Haji Zainal dan Sahairol dinobatkan juara setelah diekori rapat oleh gandingan Pasukan Daerah Temburong menerusi Asria dan Awangku Shahdoney, disusuli oleh Mohammad Azizi Shafie bin Haji Mohd Khudzairi dan Mohammad Arif Latif daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara.

Acara kelapan hari in turut mempertandingkan acara Campuran 200m, yang diungguli oleh gandingan daripada Pasukan Daerah Temburong iaitu Mohd Fauzishah Ladi dan Haslina Haji Abu bakar diikuti oleh gandingan MS ABDB iaitu Sahairol dan Nurarrizah Mohd Kassim.

Hassan Haji Zainal daripada Pasukan MS ABDB pula mengungguli acara Perseorangan Lelaki 200m apabila meninggalkan Mohammad Azizi Shafie daripada Pasukan Daerah Brunei dan Muara dan diikuti oleh Awangku Shahdoney daripada Pasukan Daerah Temburong.

Manakala bagi acara wanita perseorangan pula dimenangi oleh Nur Ayu Qistina daripada Pasukan Daerah Temburong, setelah meninggalkan Nurarrizah Mohd Hassim daripada Pasukan MS ABDB.

Sumber: Media Permata

Attachments
Created at 9/10/2018 9:17 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 9/10/2018 9:17 AM by Izyan Khairunnisa Binti Hj Abu Bakar