




























BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 28 Syawal 1443H/29 Mei 2022. -
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia
dan Sukan (JBS) telah mengadakan Musabaqah Tilawatil Quran Belia
Kebangsaan 1443H/2022M Peringkat Separuh Akhir bertempat di Dewan
Silaturrahim, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Seramai 20 peserta
qari dan 7 peserta qariah memperdengarkan bacaan mereka pada peringkat
separuh akhir tersebut yang mana 17 peserta bertanding pada sesi pagi
dan 10 peserta bertanding pada sesi petang.Majlis dimulakan dengan
bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan peserta pertama
memperdengarkan bacaan.
Hadir selaku
tetamu khas menyaksikan musabaqah pada sesi pagi ialah Yang Mulia Dr
Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Pemangku Setiausaha Tetap
(Pengurusan Strategi dan Dasar) KKBS serta pegawai dan kakitangan KKBS
dan JBS.
Musabaqah Tilawatil Quran
Belia Kebangsaan merupakan salah satu projek tahunan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan
sejak tahun 1980-an dan telah berjaya melahirkan banyak qari dan qariah
belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang
lebih tinggi. Ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah
belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing
khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.
Peserta
musabaqah terdiri daripada belia-belia dari keempat-empat daerah yang
berumur di antara 15 hingga 30 tahun terdiri daripada rakyat Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap dan tidak pernah menjadi
johan pertandingan-pertandingan seperti Majlis Tilawah Membaca Al-Quran
Peringkat Antarabangsa anjuran Kerajaan Malaysia atau Musabaqah
Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan.