




BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 21 Syawal 1443H/22 Mei 2022. – Dalam
melahirkan belia Brunei Darussalam yang mahir di dalam bidang tarannum
Al-Quran, pelbagai inisiatif telah dibuat untuk memastikan hasrat mulia
ini tercapai. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan
Belia dan Sukan giat mengadakan beberapa penganjuran tahunan Musabaqah
Tilawatil Quran Belia sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat
antarabangsa, dalam memastikan belia-belia di negara ini mempunyai
prestasi dan mutu bacaan Al-Quran yang terbaik.
Jabatan
Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui
Bahagian Belia telah menganjurkan Program Kemahiran Ilmu Al-Quran
(K.I.A) sebagai salah satu lagi
inisiatif jabatan dalam mempersiapkan belia-belia khususnya para qari
dan qariah di negara ini untuk ke tahap yang lebih tinggi. Program K.I.A
tersebut telah diadakan bertempat di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia,
Bandar Seri Begawan.
Sebagai fasa awal, program ini hanya dibukakan kepada peserta qari dan qariah yang memasuki peringkat separuh akhir bagi Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M, memandangkan terdapatnya pengenalan format baru lagu wajib dalam penilaian pertandingan.
Program K.I.A telah dijalankan secara
fizikal dalam bentuk bengkel dengan mematuhi SOP Kementerian Kesihatan.
Para peserta telah diberikan bengkel intensif selama dua (2) jam oleh tenaga-tenaga pengajar Al-Quran yang berpengalaman dan mahir sama ada dalam bidang Tajwid, Fasahah, Suara dan Lagu mengikut bidang masing-masing.
Antara lain tujuan perlaksanaan Program K.I.A adalah untuk memastikan
qari dan qariah belia yang memasuki peringkat Separuh Akhir Musabaqah
Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M mampu bertanding di tahap
yang terbaik dan bermutu tinggi disamping meningkatkan mutu pertandingan
dengan penyelarasan format sudut penilaian penghakiman di Peringkat
Belia Kebangsaan dan Bahagian Dewasa Kebangsaan.
Seramai
30 peserta akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada peringkat
separuh akhir yang akan diadakan pada hari Ahad, 29 Mei 2022 ini dan
seterusnya lima peserta qari dan lima peserta qariah termasuk Johan
Menunggu Qari dan Qariah 2021 akan bertanding di peringkat akhir nanti.