


























BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Zulkaedah 1443H/09 Jun 2022. –
Seramai empat qari dan lima qariah termasuk Johan Menunggu Musabaqah
Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 2021 telah memperdengarkan bacaan
masing-masing di Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M
Peringkat Akhir di Dewan PM Dato Shariffuddin, Bangunan Arkib Negara
Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu
kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada
para pemenang ialah Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad,
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Setiausaha-Setiausaha
Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal
Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai kanan
kerajaan.
Aturcara majlis
terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh
Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan, Pembantu Perkembangan
Ugama, Pusat Pembangunan Belia yang juga membacakan Doa Selamat di akhir
majlis, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji
Mohammad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan
selaku Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan ucapan oleh tetamu
kehormat majlis.
Majlis turut
menyaksikan persembahan belia iaitu bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh
Yang Mulia Dayangku Ummi Siti Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Johan
Qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Ke-9, 1441H/2019M
dan diselajurkan dengan pengumuman keputusan musabaqah yang disampaikan
oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah selaku Pengerusi
Jemaah Hakim.
Johan qari
dan qariah menerima piala pusingan, piala iringan, wang tunai
BND2,000.00 dan sijil penyertaan, manakala naib johan dan tempat ketiga
qari dan qariah masing-masing menerima hadiah wang tunai sejumlah
BND1,500.00 dan BND1,000.00 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.
Sementara
peserta qari dan qariah yang menerima hadiah saguhati membawa pulang
piala iringan, wang tunai BND500.00 dan sijil penyertaan.
Edisi musabaqah pada tahun ini menyaksikan seramai 61
peserta iaitu 44 qari dan 17 qariah bertanding di peringkat saringan
pada 11, 12 dan 14 Mei 2022. Manakala seramai 27 peserta iaitu 20 qari
dan 7 qariah telah bertanding di peringkat separuh akhir pada 29 Mei
lalu. Musabaqah ini menyasarkan belia-belia berumur di antara 15 hingga 30 tahun.
Musabaqah
Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan program anjuran Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dikelolakan
oleh Jabatan Belia dan Sukan sejak tahun 1980-an dan telah berjaya
melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya
mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Ia juga berperanan
sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat
keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan
Al-Quran secara berlagu atau tarannum.
Antara tujuan musabaqah diadakan adalah bagi menjunjung titah Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an
Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1996M pada 1
Jamadilakhir 1417H bersamaan 13 Oktober 1996M. Di antara lain titah
Baginda:
"Hasrat kita yang tunggal ialah melihat generasi Al-Quran
itu dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan, terutama golongan
belia. Kita akan merasa bangga dengan lahirnya belia-belia yang berwatak
salih. Bahawa salah satu tanda kesalihan itu ialah terlibatnya mereka
dengan Al-Quran samada keterlibatan itu selaku pembaca biasa, mahupun
sekaligus menjadi penghayat dan pengamal ajaran-ajarannya".
Selain
untuk menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang
berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah Negara Brunei
Darussalam, ia juga untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam
kalangan belia serta memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam
kalangan peserta belia melalui program keugamaan, di samping itu bagi
persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia
Asia Tenggara anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.