







BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 28 Syawal 1443H/29 Mei 2022. -
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia
dan Sukan (JBS) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Peringkat
Saringan dan Peringkat Separuh Akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia
Kebangsaan 1443H/2022M bertempat di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia,
Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku
tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin
Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet)
KKBS.
Aturcara majlis dimulakan
dengan ucapan daripada Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosfazilah bin
Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku Pengerusi Majlis
dan diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta musabaqah
peringkat saringan dan peringkat separuh akhir yang disempurnakan oleh
tetamu kehormat majlis. Majlis diselajurkan dengan pengumuman keputusan
musabaqah yang disampaikan oleh Yang Mulia Ali Sabri bin Haji Yussof
selaku Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Hakim Peringkat Separuh Akhir.
Manakala doa penutup telah dibacakan oleh Yang Mulia Muhammad Azim bin
Haji Ali, Penolong Pensyarah Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji
Hassanal Bolkiah.
Musabaqah Tilawatil
Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M Peringkat Akhir akan diadakan pada
hari Khamis, 10 Zulkaedah 1443H bersamaan 09 Jun 2022M bertempat di
Dewan PM Dato Shariffuddin, Bangunan Arkib Negara Brunei Darussalam.
Seramai
61 peserta iaitu 44 qari dan 17 qariah telah pun bertanding di
peringkat saringan pada 11, 12 dan 14 Mei 2022 yang lalu. Sementara
seramai 27 peserta iaitu 20 qari dan 7 qariah telah bertanding di
peringkat separuh akhir.
Manakala
seramai 9 peserta iaitu 4 qari dan 5 qariah termasuk Johan Menunggu
Qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2021 akan
bertanding di peringkat akhir nanti.
Orang
ramai terutamanya para belia boleh menyaksikan Musabaqah Tilawatil
Quran Belia Kebangsaan 1443H/2022M Peringkat Akhir nanti secara langsung
melalui akaun rasmi Facebook Jabatan Belia dan Sukan dan Instagram
@jbs.bn.