DASAR BELIA NEGARA

Matlamat Dasar Belia Negara "Mewujudkan Belia Brunei Cemerlang"

  • Menanam dan mengukuhkan pada belia nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang terkandung dalam Perlembagaan Negara dan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja;

  • Memupuk rasa kepunyaan, patriotisme, beriltizam, berazam dan berhaluan yang jelas;     
     
  • Memperkembangkan di kalangan belia pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta menanam dalam diri mereka sikap dan kualiti bertanggungjawab, berdisplin, dinamik, dapat menyesuaikan diri dan berdikari bagi pembangunan negara di samping mengukuhkan kepaduan negara.

  • Menggalakkan penglibatan belia dalam perkembangan ekonomi yang kukuh dan berlanjutan.

Nilai dan Prinsip yang menjadi Teras Dasar Belia Negara

Dasar Belia Negara adalah berteraskan perkara - perkara berikut:

Nilai:

·  Mengamal dan mengukuhkan nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang terkandung dalam Perlembagaan Negara dan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

Prinsip:

·  Mendukung kerasmian Ugama Islam dan menzahirkannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian belia sebagai satu cara hidup yang lengkap selaras dengan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

·  Menyumbang kepada kehidupan bermasyarakat, bernegara dan perkembangan ekonomi yang kukuh dan berlanjutan di Negara Brunei Darussalam supaya negara keseluruhannya dan belia khususnya dapat mengatasi dan mendapat faedah dari perubahan sosial, ekonomi dan teknologi yang pesat tanpa menjejaskan nilai peribadi dan kebudayaan mereka.

·  Menyumbang kepada pembinaan kesedaran diri, kepaduan, perkhidmatan kepada orang lain dan keeratan sosial di kalangan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutamanya di kalangan belia.

·  Menyumbang kepada perkembangan pengetahuan, kemahiran dan sikap peribadi yang dikehendaki di kalangan orang ramai, khususnya belia, bagi kemajuan negara, pekerjaan dan warganegara yang aktif dan produktif.

·  Membantu belia memperkembangkan kualiti peribadi yang penting seperti berdikari, kepimpinan, inisiatif, keyakinan, iltizam, daya usaha dan kreatif dan untuk menggalakkan ekspresi kualiti ini dalam pelbagai keadaan sosial dan ekonomi.

·   Memperluas penglibatan organisasi belia amnya dan Majlis Belia Brunei khususnya dalam pembangunan negara.

·  Membolehkan belia memperkembangkan kesedaran dan persefahaman antarabangsa, supaya menyedari kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN, rantau Asia, Komanwel dan antarabangsa.

·   Menggalakkan pihak swasta mempunyai program khas bagi belia.

 

Keistimewaan dan Tanggungjawab Belia:


Selain dikukuhkan dengan nilai-nilai dan prinsip-prinsip tertentu yang telah dijelaskan, Dasar Belia Negara juga terletak pada pemahaman bahawa belia mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang diberikan oleh negara dan tanggungjawab yang negara mengharapkan mereka melaksanakannya. Dalam perkara ini keistimewaan dan tanggungjawab tersebut membentuk asas 'kontrak sosial' di antara belia dengan Kerajaan seperti berikut:

 

Keistimewaan Belia:


Mendapat perlindungan dari eksploitasi, diskriminasi atau penganiayaan;


Melakukan amalan dan ekspresi kepercayaan berugama dan kegiatan kebudayaan dalam rangka Perlembagaan Brunei;


Menubuhkan persatuan mengikut kehendak undang-undang;


Mendapat peluang pendidikan umum dan ugama, latihan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan - perkhidmatan penting yang lain yang bertujuan untuk memperkembangkan kemahiran dan potensi manusia;


Mendapat peluang untuk lebih memahami dan menghayati kebudayaan negara;


Mendapat perkhidmatan yang diperlukan oleh belia yang berkeperluan khas atau belia yang tidak berkeupayaan;


Mendapat pengiktirafan disebabkan kualiti peribadi dan perkhidmatan melalui pemberian Anugerah seperti yang diberikan oleh Negara dan Anugerah Belia di peringkat serantau dan antarabangsa;


Mengistiharkan satu hari khas yang disebutkan Hari Belia Kebangsaan.



Tanggungjawab Belia:

·Taat kepada Allah, Setia kepada Raja dan Cinta kepada Negara;

·Untuk menghormati keperluan dan hak orang lain dan warga tua;

·Untuk hidup dan bertindak mengikut ugama dan kebudayaan selaras dengan kehendak Perlembagaan Negara;

·Untuk bertindak jujur dan boleh dipercayai;

·Untuk memikul tanggungjawab peribadi bagi memelihara dan memperkembangkan kesihatan, pendidikan, kemahiran dan kualiti peribadi;

·Untuk memikul tanggungjawab peribadi kepada keluarga dan masyarakat;

·Untuk menyumbangkan secara aktif kepada kekukuhan dan kesepaduan masyarakat serta keamanan dan kesejahteraan negara keseluruhannya;

·Mempertahankan kesucian Ugama Islam, menghayati ajaran-ajaran dan celik Al-Quran;

 

·Huraian Matlamat Dasar Belia Negara:


Matlamat Dasar Belia Negara adalah seperti yang telah dinyatakan dalam huraian di atas. Matlamat Dasar ini diterangkan secara terperinci di bawah: Objektif Dasar, dan seterusnya di bahagian Bidang Strategi Penting dan Kumpulan Sasaran Utama.

Objektif Dasar 1:        
Mendukung Islam sebagai ugama rasmi dan menjadikannya satu cara hidup yang lengkap

Untuk menjadikan belia bertanggungjawab:

·         Menjadikan Al-Quran dan Assunah sebagai panduan hidup;

·         Memelihara dan mempertahankan kesucian Ugama Islam;

·         Memperlajari dan mengamalkan tuntutan Fardhu Ain dengan sempurna dan celik Al-Quran;

·         Menjadi warga yang taat beragama dan mempunyai akhlak mulia dan terpuji.

 

Objektif Dasar 2:
Menyumbang kepada ekonomi, kebudayaan dan masyarakat yang kukuh dan berlanjutan

Untuk membolehkan belia menghargai:

·         Keperluan untuk menyumbang kepada pencapaian ekonomi yang kukuh dan berlanjutan;

·         Keperluan untuk mendukung satu kebudayaan dan masyarakat yang kukuh dan bertenaga;

·         Penubuhan sebuah Yayasan Belia

 

Objektif Dasar 3:
Pemahaman dan Kesedaran

Untuk membolehkan belia memupuk:

·         Kesedaran diri dan rasa kepunyaan serta mempunyai hala tuju kehidupan yang sempurna;

·         Kefahaman tentang keperluan untuk bekerja dengan semangat perpaduan dengan orang lain;

·         Menghargai dan mengamalkan sikap pemedulian dan khidmat kepada orang lain dalam masyarakat;

·         Kebolehan untuk menyumbang bagi kesepaduan masyarakat dan negara;

·         Persefahaman antarabangsa.

 

Objektif Dasar 4:
Pengetahuan dan Kemahiran


Untuk membantu belia mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk:

·         Menyumbangkan secara positif kepada pembangunan negara;

·         Bersikap positif kepada pekerjaan;

·         Menjadi warganegara yang aktif dan penuh azam.

 

Objektif Dasar 5:
Sikap dan Kualiti Peribadi


Untuk menbantu belia memperkembangkan sikap dan kualiti peribadi yang penting dalam semua aspek kehidupan harian dan untuk mengekalkan penyataan sikap dan kualiti ini dalam pelbagai keadaan sosial dan ekonomi.
Sikap dan kualiti ini antara lain termasuklah:

·         Beriman dan bertakwa

·         Taat dan setia kepada Raja

·         Patriotik

·         Patuh kepada undang-undang

·         Berdaya saing

·         Berdikari

·         Kepimpinan

·         Inisiatif

·         Keyakinan

·         Iltizam

·         Keusahawanan

·         Kreatif

 

BIDANG STRATEGI PENTING DAN KUMPULAN SASARAN UTAMA


Rujukan telah dibuat kepada beberapa isu sejarah dan kontemporari yang melibatkan belia di Negara Brunei Darussalam. Dalam Dasar Belia Negara perkara tersebut digambarkan dalam beberapa bidang strategi penting dan kumpulan sasaran yang dijadikan fokus perhatian utama Perkara itu adalah seperti berikut:

Pendidikan Perkembangan Diri


Apa jua yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dan pihak lain untuk mengutarakan kebanyakan isu yang melibatkan belia di Negara Brunei Darussalam, pada hakikatnya bergantung pada kesediaan dan kebolehan belia itu sendiri untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah yang mereka hadapi dan menggunakan peluang yang ada. Oleh itu strategi penting yang boleh didapati dalam semua kegiatan dan program belia yang dilaksanakan di bawah Dasar Belia Negara adalah perkembangan peribadi, termasuk prinsip-prinsip berugama, supaya belia memperkembangkan sikap peribadi dan kualiti yang diperlukan untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi melalui sistem pendidikan dan skim latihan.

Pekerjaan dan Latihan Belia


Untuk menghadapi dua keperluan yang berkaitan iaitu mengatasi tahap pengangguran yang tinggi di kalangan belia dan menggalakkan lebih ramai daripada mereka bekerja di sektor swasta, maka skim latihan, penempatan kerja dan maklumat kerja/kerjaya telah diperkenalkan dan akan diperluaskan. Skim ini akan dikendalikan dengan kerjasama yang rapat dengan majikan Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang berkaitan. Oleh kerana keluarga juga mempunyai pengaruh yang kuat ke atas belia, mereka ini juga perlu sama dilibatkan. Bagi skim ini kumpulan sasaran utama adalah belia yang tercicir dari sekolah di peringkat pendidikan awal dan/atau mereka yang memiliki kelulusan pendidikan yang rendah kerana kumpulan inilah yang terdedah bukan sahaja kepada pengangguran tetapi juga kepada penyalahgunaan dadah dan jenayah kecil. Perkembangan peribadi juga merupakan tema yang utama bagi perkhidmatan ini.

Kepimpinan


Di bawah Dasar Belia Negara, dengan penekanan terhadap perkembangan peribadi, keutamaan akan diberikan untuk mengembangkan kebolehan dan kualiti kepimpinan belia seperti teladan yang digambarkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Fokus terpenting di sini ialah untuk mengekang kemerosotan bilangan pertubuhan belia dan pertubuhan bukan-kerajaan negara ini. Selain daripada program latihan kepimpinan, sokongan dan latihan juga akan diberikan kepada pemimpin-pemimpin pertubuhan untuk memastikan yang mereka tetap kukuh dan komited dengan tanggungjawab mereka.

Daya Usaha


Gabungan perkembangan peribadi, pekerjaan, latihan dan kepimpinan diberikan fokus utama bagi menggalakkan dan membolehkan lebih ramai belia melibatkan diri dalam daya usaha ekonomi dan sosial. Melalui skim latihan, sokongan dan kewangan khas, termasuk sokongan aktif bagi penubuhan badan-badan koperasi sekolah, keutamaan akan diberikan untuk memajukan lebih ramai usahawan belia.

Persefahaman Antarabangsa


Keutamaan sentiasa diberikan untuk memastikan bahawa belia menyedari sepenuhnya akan kedudukan mereka, dan kedudukan negara mereka dalam ASEAN, rantau Asia, komanwel dan antarabangsa. Oleh itu program perhubungan dan pertukaran antarabangsa akan terus menjadi bahagian penting Dasar Belia Negara.

Perkhidmatan Kepada Orang Lain dan Negara


Sungguhpun Negara Brunei Darussalam pada keseluruhannya dan setiap individu penduduknya mesti berusaha untuk berjaya dan berdaya saing, tetapi terdapat bahaya bahawa perkara ini akan tercapai dengan mengorbankan sikap pemedulian sosial dan perpaduan di kalangan masyarakat. Tanda-tandanya sudah nampak yang sikap individualisme dan budaya pengguna telah mengakibatkan kehilangan nilai tradisi yang positif. Oleh yang demikian, perkhidmatan, program dan kegiatan kemasyarakatan yang ada sekarang akan dikembangkan dan dipertingkatkan serta diberikan keutamaan di bawah Dasar Belia Negara.

 

MEKANISME PELAKSANAAN

·         Kementerian dan Jabatan Utama


Kementerian utama yang bertanggungjawab bagi perkembangan belia di Negara Brunei Darussalam ialah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kementerian ini adalah bertanggungjawab bagi perkembangan dasar belia, manakala perhubungan dengan agensi-agensi yang berkaitan dengan pentadbiran program dan kegiatan dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan. Kementerian yang utama juga akan menyediakan sebuah Akta Belia untuk melengkapi Dasar Belia Negara.

·         Mekanisme Penyelarasan


Sebuah Majlis Penyelarasan Dasar Belia yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan dibentuk untuk memastikan penyelarasan dasar dalam hal ehwal kebeliaan. Keahliannya termasuklah pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan semua Kementerian dan Jabatan yang mempunyai dasar dan program yang melibatkan belia, Majlis Belia Brunei dan juga wakil-wakil dari pertubuhan-pertubuhan belia.


Dasar dan program kebeliaan di Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan yang lain hendaklah diselaras dan dihubungkan dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi tujuan memaksimakan penggunaan sumber di samping untuk meminimakan perbezaan di kalangan kumpulan sasaran itu sendiri. Pengurusan itu termasuk:

o  Kraftangan: Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei adalah diawasi oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil dari pelbagai Kementerian dan Jabatan. Selain daripada itu, kraftangan juga dihasilkan oleh orang-orang hilang upaya, tunakdaksa dan pesara di bawah kelolaan Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat, Kementerian Kebudayan, Belia dan Sukan, dan juga beberapa buah kampung di bawah kelolaan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pejabat Penjara dalam bentuk industri kotej dan beberapa industri kotej bebas kepunyaan persendirian.

o  Program Pembangunan Belia: Sebuah Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan dibentuk bagi program ini yang terdiri daripada wakil-wakil majikan sektor swasta, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Buruh, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, dan Kementerian Pendidikan.

o  Outward Bound Brunei Darussalam: Terletak di Daerah Temburong dan dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Pusat ini menyediakan kursus latihan bagi pembangunan belia melalui kegiatan­kegiatan berasaskan pembelajaran melalui pengalaman.

o  Program Antarabangsa: Program-Program belia yang mempunyai fokus antarabangsa kadangkala dikelolakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama erat Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

o  Program dan Kegiatan yang Melibatkan Pertubuhan Belia: lni dirancang dan dilaksanakan dengan bantuan dan koordinasi pertubuhan-pertubuhan belia.

 

·         Mekanisme Pentadbiran


Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan adalah bertanggungjawab bagi perkembangan Dasar Belia Negara dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan. Pentadbiran program dan kegiatan adalah dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan dan pejabat-pejabatnya di setiap daerah. Di samping itu, Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama institusi yang lain seperti pertubuhan-pertubuhan belia dan Jabatan-Jabatan Kerajaan berkaitan, serta dengan koordinasi badan-badan antarabangsa seperti Program Belia Komanwel, Jawatankuasa Kecil ASEAN Mengenai Belia dan lain-lain agensi serantau dan antarabangsa adalah juga bertanggungjawab bagi program-program kegiatan peringkat antarabangsa, serantau dan dua hala.

 

·         Belanjawan


Perbelanjaan bagi program dan kegiatan belia di Negara Brunei Darussalam adalah dari belanjawan Kerajaan. Walaubagaimanapun, beberapa pertubuhan belia membiayai program dan kegiatan mereka melalui sumber kewangan sendiri.

 

·         Perkembangan Latihan dan Profesional


Program latihan kepimpinan belia merupakan objektif utama bagi Dasar Belia Negara (seperti yang diterangkan dalam Bahagian C/D). Kursus latihan dan perkembangan profesional disediakan bagi pemimpin-pemimpin pertubuhan belia dan pegawai-pegawai yang menangani Program Belia dari Kementerian­Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan. Kursus-Kursus ini mengandungi berbagai-bagai bidang.

 

·         Konsultasi / Penyelarasan


Selain daripada koordinasi dengan Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan dan pihak-pihak yang berkenaan, mesyuarat konsultasi diadakan di peringkat daerah dengan pertubuhan-pertubuhan belia dan pemimpin-pemimpin kampung dan daerah serta pegawai-pegawai secara tetap. Konsultasi telah diadakan, dan akan terus diadakan, apabila kegiatan dan program baru dirancangkan.


Ibu bapa dan keluarga akan dibawa berunding jika penglibatan mereka diperlukan bagi kejayaan sebarang program atau kegiatan.

 

·         Kajian Semula


Dasar Belia Negara akan dikaji semula dalam tempoh tidak melebihi 4 tahun.
Proses kajian semula akan melibatkan lain-lain pihak yang berkepentingan.

 

   KESIMPULAN


Dokumen dasar ini hendaklah dibaca bersama-sama Lampiran untuk menampakkan gambaran yang menyeluruh.


Juga dalam Bidang Strategi Penting dan Kumpulan Sasaran Utama, perhatian prioriti adalah pada enam bidang penting - A. Pendidikan Perkembangan Diri, B. Pekerjaan dan Latihan Belia, C. Kepimpinan, D. Daya Usaha, E. Persefahaman Antarabangsa, dan F. Perkhidmatan Kepada Orang Lain dan Negara, dan bagi pekerja-pekerja belia, rangka kerja tertentu akan disediakan bagi setiap bidang berkenaan.


Pada kesimpulannya, tujuan Dasar Belia Negara dapat dikategorikan seperti berikut:

·  Kerasmian Ugama Islam - mendukung kerasmian Ugama Islam dan menzahirkannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian belia sebagai satu cara hidup yang lengkap selaras dengan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja;

·  Solidariti - membina pertimbangan tekad dan kepaduan di kalangan belia, bahkan di kalangan semua warganegara;

·  Pekerjaan, pembinaan peribadi dan latihan - membina sikap positif, kemahiran dan kualiti di kalangan belia yang perlu bagi pekerjaan (terutamanya di sektor swasta);

·  Daya usaha, berdikari dan kepimpinan - menggalak dan membolehkan belia berkeyakinan sendiri, kreatif, berinisiatif, menyelesaikan masalah, menubuhkan perusahaan baru, dan mengambil peranan kepimpinan.

·  Perkembangan pertubuhan dan kegiatan yang dikendalikan oleh belia - memberikan belia peluang dan motivasi untuk lebih berdikari dan lebih bertanggungjawab dalam urusan mereka;

·  Kekukuhan dan kepaduan negara - membina ekonomi yang kukuh dan berlanjutan dan sebuah masyarakat yang mampu mengatasi perubahan cepat di bidang sosial, ekonomi dan teknologi.


Disebabkan terdapat kepelbagaian yang tinggi di kalangan belia di mana setiap individu mempunyai keinginan, kebolehan, ciri-ciri keperibadian, keadaan, minat dan aspirasi yang berlainan semakin meluas khidmat dan kegiatan yang disediakan, semakin tinggi kemungkinan matlamat Dasar Belia Negara dapat dicapai.


Khidmat dan kegiatan tersebut mestilah tergolong ke dalam dua kategori besar:

·         "Kegiatan belia" - penglibatan belia dalam aktiviti yang sihat dan menyeronokkan di mana pembangunan peribadi dan sikap merupakan hasil sampingan;

·         "Kegiatan pembangunan belia" - penglibatan dan penyertaan belia dalam program yang khusus dirancang bagi merangsang perkembangan dan pertumbuhan sikap, dan kualiti motivasi, daya usaha, kepimpinan dan sifat berdikari. Kegiatan-kegiatan itu bukan dihasratkan untuk mengisi masa tetapi untuk membentuk belia menjadi insan yang baik keseluruhannya.


Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Kementerian utama adalah bertanggungjawab menyelaras dengan pihak-pihak lain mengenai hal ehwal kebeliaan, program atau kegiatan yang Kementerian-Kementerian dan Jabatan­Jabatan berkaitan mempunyai kepentingan. Kementerian ini hendaklah dibawa berunding dan dimaklumkan tentang pendaftaran atau pembatalan pendaftaran pertubuhan-pertubuhan belia supaya perlembagaan dan lain-lain undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut tidak akan bercanggah dengan prinsip-prinsip dan penyataan-penyataan Dasar Belia Negara.


lnisitif yang diambil untuk mencapai dasar-dasar dan hasil-hasil yang dikehendaki melalui program dan projek yang telah dikenalpasti adalah dihasratkan untuk meliputi semua(atau sekurang-kurangnya sebahagian besar) belia di Negara Brunei Darussalam. Kejayaan hasrat sedemikian cuma akan tercapai sekiranya semua Kementerian dan Jabatan berkaitan, semua sektor masyarakat dan semua lapisan golongan adalah terlibat dengan penuh azam. Kejayaan itu tidak dapat dicapai cuma dengan dasar-dasar dan tindakan-tindakan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Sumber-Sumber mithalnya kewangan yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang dihasratkan adalah sederhana berbanding dengan kemungkinan kerugian yang akan dialami sekiranya tanda-tanda penyakit sosial dalam perkara-perkara kemerosotan nilai-nilai keluarga, pengangguran, sikap malas ku ingau dan lain­lain tidak ditangani dengan sempurna.