MAZIAH MAHUSIN AKAN BERTARUNG DALAM ACARA 400M LARI BERPAGAR BERTEKAD MELAKUKAN PERSEMBAHAN TERBAIK
REPUBLIK SINGAPURA, Selasa, 17 Ogos. - Peserta tunggal negara dalam acara olahraga, Dayang Maziah Mahusin akan turun ke gelanggang Stadium Bishan pada hari Khamis, 19 Ogos bagi bertarung dalam acara 400M Lari Berpagar Wanita.
Semasa ditemu bual oleh wartawan PELITA BRUNEI ketika menjalani latihan di Pusat Sukan Universiti Teknologi Nanyang, Perkampungan Sukan Olimpik Belia (YOG), Dayang Maziah berhasrat tinggi untuk memecahkan rekod peribadinya dalam acara 400 Meter Lari Berpagar. Beliau kini memegang rekod kebangsaan dalam acara berkenaan dengan catatan masa 1 minit 8 saat yang dicatatnya ketika kelayakan bagi YOG di Republik Singapura Mei tahun ini.
|
DYG. Maziah Mahusin ketika menjalani latihan di Pusat Sukan Universiti Teknologi Nanyang, Perkampungan Sukan Olimpik Belia (YOG).
(Foto : Hj. Masmaleh Hj. Mohd. Ali) |
“Saya berhasrat bersungguh-sungguh dan bertekad untuk memecahkan rekod peribadi saya dalam acara yang menjadi kegemaran saya sejak di bangku sekolah lagi,” jelasnya.
Berumur 17 tahun dan bekas pelajar Sekolah Menengah Berakas itu seterusnya menjelaskan bahawa saingannya pada peringkat remaja dunia amatlah berat di mana beliau terpaksa bertarung dengan jaguh-jaguh remaja dunia dari benua Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara Afrika.
Beliau yang berasal dari Kampung Lambak dan mendapat latihan di bawah Jurulatih Olahraga, Dario De Rosas, berkata kebanyakan atlet muda yang bertanding dalam acara ini di YOG Kali Pertama di Republik Singapura mencatat masa terpantas di bawah satu minit iaitu 55 saat.
“Walau bagaimanapun, saya akan melakukan persembahan terbaik dan mencuba sedaya upaya bagi menyaingi kehebatan mereka,” terangnya dengan nada bersemangat.
Menurutnya, beliau terpaksa membuat persembahan terbaik dan memecahkan lariannya yang tercatat sebelum ini iaitu 68 saat bagi membolehkannya terpilih mewakili negara di Temasya Sukan Asia di Guangzhou, Republik Rakyat China pada November depan.
“Inilah matlamat tinggi saya yang saya sendiri mesti berusaha gigih untuk mencapainya demi untuk negara tercinta,” jelasnya ketika mengakhiri wawancara.
Sebelum bertarung di Kota Singa, Dayang Maziah pernah menyertai Sukan Malaysia 2010 (SUKMA) di Melaka pada bulan Jun yang lalu dalam acara yang sama.
Dalam Temasya SUKMA itu beliau berjaya memasuki peringkat akhir, namun hanya menduduki tempat keenam dengan catatan 1 minit 10 saat.
Sementara itu perenang muda negara, Jeremy Joint Riong akan bertarung di dalam acara 50M Gaya Bebas Lelaki di Kompleks Renang Sekolah Sukan Singapura, Woodlands di sini hari ini.
(Laporan : Jaafar Ibrahim dari Republik Singapura)