Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Anugerah Hari Belia Kebangsaan Ke-17 Tahun 2022

Updated Poster AHBK 2022.JPG

​Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa borang pencalonan bagi Anugerah Hari Belia Kebangsaan Ke-17 Tahun 2022 Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2022 kini boleh didapati melalui portal YSNet di https://ysnet.gov.bn dan tatacara memohon juga boleh diperolehi melalui laman sesawang Hari Belia Kebangsaan di www.hbk.gov.bn dengan klik pada pautan (link) diberikan.

Kategori anugerah pada tahun ini dibahagikan kepada empat (4) iaitu:


1. Projek Cemerlang Untuk Belia (PCUB) – Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada projek-projek belia dalam pelbagai bidang yang berjaya menjadi inspirasi dan model kepada pembangunan masyarakat secara am dan khususnya kepada para belia. Projek berinovasi yang membangunkan dan memajukan agensi, organisasi atau persatuan atau pergerakan belia dan satu kelebihan jika projek tersebut membukakan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat khusus di kalangan belia serta menyumbang kepada pembangunan belia dan ekonomi negara.

2. Pemimpin Muda Belia (PMB) – Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan atas khidmat cemerlang yang telah diberikan oleh seorang Pemimpin Muda dalam memajukan agensi atau organisasi atau pergerakan belia yang telah dipimpinnya secara berterusan dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kemasyarakatan, pendidikan, keusahawanan, alam sekitar, teknologi, kesukanan dan sebagainya. Di samping itu juga sebagai penghormatan yang berterusan bagi ikutan dalam melahirkan pemimpin belia yang berwibawa, berwawasan dan berhemah tinggi.

3. Belia Cemerlang (BC) – Anugerah ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada seorang belia yang telah memberikan sumbangan jasa yang cemerlang dalam apa jua bidang diceburi atau memperlihatkan usaha-usaha yang membuahkan hasil membanggakan dan mengharumkan nama negara. Pencapaian yang cemerlang diperolehi di peringkat antarabangsa merupakan satu keutamaan selain di peringkat serantau dan kebangsaan pula adalah satu kelebihan dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kesukanan, pendidikan, keusahawanan, Sains, teknologi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya.

4. Belia Berkhidmat (BB) – Anugerah ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada seorang belia yang bergiat aktif dan memberikan sumbangan serta khidmat secara sukarela dan berterusan kepada masyarakat di negara ini dalam pelbagai bidang sama ada keugamaan, kesukanan, pendidikan, keusahawanan, sains, teknologi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya.

Setiap pencalonan hendaklah mengisikan borang pencalonan (templat) yang disediakan dengan lengkap dan menyertakan dokumen yang dikehendaki.

Pencalonan dibukakan bermula pada hari Isnin, 15 Syawal 1443H bersamaan 16 Mei 2022 dan tarikh tutup pencalonan ialah pada hari Khamis, 16 Zulkaedah 1443H bersamaan 16 Jun 2022 pukul 4.00 petang.

Sebarang pertanyaan mengenai anugerah tersebut bolehlah menghubungi Urus Setia Anugerah Hari Belia Kebangsaan Ke-17 Tahun 2022, Jabatan Belia dan Sukan di alamat Tingkat 3, Bahagian Belia, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan BC4415 atau di talian 2381903/4/5 sambungan 1300/4 semasa waktu pejabat.


Attachments
Created at 5/24/2022 8:54 AM by Susieyanti Hamdi
Last modified at 5/24/2022 9:02 AM by Susieyanti Hamdi