[Sumber: Pelita Brunei]
Berita:
Hernie Suliana Haji Othman - Penerangan
Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN,
Sabtu, 23 Disember 2017 - Bagi
mengintegrasikan golongan Orang
Kelainan Upaya (OKU) dengan
golongan sukarelawan melalui
satu platform, Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan
(KKBS) melalui Jabatan
Belia dan Sukan (JBS) serta
Jabatan Pembangunan Masyarakat
(JAPEM) mengadakan Sambutan
Hari Sukarelawan Antarabangsa
dan Hari OKU Antarabangsa
2017.
Hadir selaku tetamu kehormat
pada sambutan tersebut, Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan,
Yang Berhormat Pehin Datu
Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato
Paduka Seri Haji Awang Halbi
bin Haji Mohd. Yussof pada majlis
yang berlangsung di Dewan
Riadah, Pusat Belia, di sini.
Dalam ucapan alu-aluan,
Pemangku Pengarah Belia dan
Sukan, Pengiran Anak Mohd
Sofian bin Pengiran Anak Haji
Ibrahim menyatakan, program
kesukarelawanan diberikan
perhatian oleh pihak kerajaan
terutama dalam kalangan belia.
Menurutnya, satu ruang
sukarelawan yang akan mula
digunakan menjelang pertengahan
tahun 2018, disediakan di
Pusat Belia bagi memudahkan
para sukarelawan berhimpun,
bermesyuarat atau bermuzakarah
serta sebagai pusat operasi bagi
perkara-perkara yang melibatkan
sukarelawan.
Sambutan Hari Sukarelawan
Antarabangsa merupakan acara
tahunan yang diraikan oleh
Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) pada setiap
5 Disember sejak tahun 1985 yang
mana Negara Brunei Darussalam
telah meraikan sambutan ini
sejak tahun 2011, manakala Hari
Antarabangsa OKU pula telah
diperkenalkan dan dipromosikan
oleh PBB sejak tahun 1992 dan
disambut pada setiap 3 Disember.
Dalam meraikan kedua-dua
sambutan ini, dua acara yang
diadakan secara berasingan telah
pun dilaksanakan, iaitu Kempen
'Day of Action' (DOA) 2017 yang
berlangsung pada 10 Disember
dan Dialog Majlis Kesejahteraan
OKU bersama Sukarelawan
pada 20 Disember lalu.