Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

27.04.2024 | Program Kemahiran Ilmu Al-Quran Meningkatkan Kompetensi Qari dan Qariah Belia

taklimat MTQBK 2024.png

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan dalam usahanya untuk meningkatkan lagi piawaian dan kualiti penganjuran Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan telah sekali lagi dapat mengadakan Program Kemahiran Al-Quran (K.I.A.).  Program ini memfokuskan kepada pembelajaran dalam bidang taranum Al-Quran yang bertujuan untuk mempersiapkan para qari dan qariah belia agar mampu bertanding pada tahap yang terbaik dan bermutu tinggi.

Program yang diadakan selama dua hari pada 27 hingga 28 April 2024 memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bidang taranum Al-Quran, termasuk Lagu, Suara, Fasahah, dan Tajwid. Seramai 70 peserta yang terlibat dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan telah diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam setiap aspek ini melalui latihan intensif di bawah bimbingan khusus  daripada pakar-pakar dalam bidang tersebut.

Objektif utama dari program ini adalah untuk memastikan bahawa para qari dan qariah belia yang mengikuti musabaqah Al-Quran nanti dapat bertanding dengan penuh keyakinan dan kecekapan yang tinggi. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan mutu pertandingan dengan menyelaraskan format dan penilaian penghakiman di Peringkat Belia Kebangsaan dan Peringkat Dewasa Kebangsaan.

Dalam sesi-sesi bengkel, para peserta telah diberi latihan khusus yang dirancang untuk memperbaiki kemahiran mereka dalam membaca Al-Quran dengan betul mengikut peraturan tajwid yang betul, memahami makna-makna yang terkandung dalam Al-Quran serta olahan suara dan lagu yang sesuai dan tersusun.  Di samping itu,  sebagai nilai tambah, para peserta juga telah berpeluang untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang berbentuk kepimpinan dan pembangunan diri yang dihasratkan supaya akan dapat mengilap potensi diri para peserta.

Program ini diharapkan ianya akan dapat memberi impak positif dalam meningkatkan kompetensi qari dan qariah belia, serta meningkatkan mutu pertandingan tilawatil Quran secara keseluruhan. Ini adalah langkah positif dalam mendukung perkembangan bakat-bakat belia dalam bidang keagamaan di Negara ini dan seterusnya melahirkan generasi Al-Quran.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Saringan akan diadakan pada 8 hingga 10 April 2024 bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan bagi memilih peserta untuk ke peringkat seterusnya iaitu peringkat separuh akhir dan peringkat akhir.​


Attachments
Created at 5/1/2024 11:58 AM by Roslinawati Binti Jamaludin
Last modified at 5/1/2024 11:58 AM by Roslinawati Binti Jamaludin